NATIONAL

Halim terus hidupkan semangat LIMA di usia 59 tahun

Bernama 17/05/2025 | 01:00 MYT
Datuk Halim Othman, Ketua Pasukan Aerobatik Kebangsaan Krisakti. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Meniti usia 60 tahun sering dilihat sebagai permulaan kehidupan baharu dengan bebas daripada komitmen kerja, diisi dengan ketenangan, hobi dan masa berharga bersama anak cucu, namun kisahnya berbeza bagi Ketua Pasukan Aerobatik Kebangsaan Krisakti Datuk Halim Othman.
Pada usia 59 tahun, beliau masih aktif memecut di langit, melakukan formasi ekstrem namun menghiburkan pada ketinggian ribuan kaki dari paras laut dan darat yang memerlukan ketangkasan, ketahanan serta keberanian luar biasa.
Dikenali dengan julukan 'TooGoo', minat Halim terhadap dunia aerobatik berputik pada 1991 ketika beliau menerbangkan pesawat Skyhawk mewakili Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada edisi pertama Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA).
Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Aerotree Group, beliau mengakui bahawa penganjuran LIMA setiap dua tahun menuntut beliau untuk memberi tumpuan kepada dua aspek penting iaitu pengurusan korporat dan dunia penerbangan termasuk menjaga tahap kecergasan fizikal.
"Biasanya dua bulan sebelum LIMA, kami akan mula latihan fizikal untuk menyesuaikan badan dengan daya graviti (daya-G) kerana dalam persembahan aerobatik daya-G sangat tinggi dan kebanyakan membuat pertunjukan adalah juruterbang yang masih aktif.
"Namun, bagi saya dan rakan-rakan juruterbang veteran, latihan berterusan adalah kunci utama bukan hanya untuk memastikan persembahan berjalan lancar tetapi juga menjamin keselamatan penonton," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama sempena pertunjukan pada LIMA 2025 nanti.
Beliau berkata sesi latihan dijalankan dalam beberapa fasa dengan fas apertama melibatkan latihan asas untuk memastikan keupayaan fizikal juruterbang serta prestasi pesawat dalam keadaan optimum manakala fasa kedua pula melibatkan reka bentuk atau penyusunan formasi serta pergerakan.
fotoBERNAMA
"Fasa ketiga ialah persembahan kepada orang awam yang tertakluk kepada peraturan dan garis panduan tertentu bagi menjamin keselamatan," katanya.
Mengenai cabaran utama pula, Halim berkata beliau perlu memastikan prestasi pasukan berada pada tahap terbaik selain melihat tahap kemampuan pasukan supaya tidak melepasi had terutamanya membabitkan daya-G.
"Ketika waktu persembahan sebenar, kadang-kadang kita cenderung untuk tolak batas keupayaan dan keselamatan, jadi penting untuk tahu had keselamatan tetap. Itu sebabnya kita berlatih secara konsisten dan mendapat pengalaman berterusan agar sentiasa berada dalam zon selamat," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata terdapat sistem keselamatan yang perlu dipatuhi membabitkan kehadiran juruterbang keselamatan yang memantau serta memberikan maklum balas.
"Dalam dunia aerobatik, ia sebenarnya bukan sekadar tentang juruterbang sahaja tetapi juga melibatkan pasukan kejuruteraan, juruterbang keselamatan dan pasukan operasi. Ia adalah kerja berpasukan sepenuhnya," katanya.
Bagi LIMA 2025, Halim berkata pasukan Krisakti menjanjikan sesuatu yang luar biasa dengan menampilkan beberapa aksi baharu termasuk cutwind dan frisbee boomerang yang sukar dilakukan oleh jet tetapi boleh disempurnakan dengan pesawat propeller seperti X-300.
"Kami akan tampilkan beberapa formasi ekstrem yang menggabungkan kawalan halus, kelajuan dan keindahan visual. Dari perspektif penonton, ia sangat mengasyikkan," katanya.
fotoBERNAMA
Paling menarik, Halim berkata buat kali pertama di Malaysia, pasukan Krisakti akan mengadakan pertunjukan khas ketika matahari terbenam, lengkap dengan percikan bunga api dari pesawat yang telah diubah suai.
"Cuba bayangkan langit Langkawi waktu senja, pesawat terbang dengan formasi unik, dan diikuti percikan letusan bunga api seperti sambutan perayaan.
"Pada waktu petang, matahari terbenam dalam masa 10 minit sahaja, saya sarankan orang ramai untuk berada di Pantai Cenang dan boleh tunggu kami terbang dalam lima hingga 10 minit. Pastikan telefon anda sedia untuk rekod video dan gambar kerana ini kali pertama dilakukan di Malaysia," katanya.
LIMA 2025 dianjurkan bersama Kementerian Pertahanan dan Global Exhibitions and Conferences Sdn Bhd (GEC) bertemakan Inovasi Hari Ini, Pencapaian Masa Hadapan, menekankan aspek inovasi serta daya saing dalam kalangan pemain industri maritim dan aeroangkasa.
Pameran dwitahunan yang berlangsung di Langkawi, Kedah pada 20 hingga 24 Mei ini, merupakan pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan pada 1991.
-- BERNAMA
#Lima #aerobatik #Juruterbang #Halim Othman