KUALA LUMPUR: Laksamana Maritim, Datuk Hamid Mohd Amin dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang keenam berkuatkuasa 6 November 2023.

Maritim Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, beliau menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang bersara wajib pada Mac lalu.

Hamid sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia dan pernah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun.

Beliau kemudian diserapkan ke Maritim Malaysia sebagai pegawai perintis pada 31 Oktober 2005.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah serta Sarawak.

Hamid juga pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Kawasan Keselamatan Khasi Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada tahun 2019.

“Beliau turut diberikan tanggungjawab menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada tahun 2021.

“Seterusnya pada bulan Mac yang lalu, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia.

“Berlandaskan perancang strategik dan aturgerak aset yang bijak, beliau telah mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi.

“Ia adalah seperti penyeludupan, pemerdagangan manusia, minyak, kontraban dan barangan kawalan yang melanggar undang-undang negara,” menurut kenyataan itu.

Hamid juga telah menerima pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos yang lalu.

“Kini dengan peranan baharu sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga Maritim Malaysia melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara,” ujarnya.
-ENDS-