MALAYSIA

Hamidin terima Anugerah Jasamu Dikenang

Bernama 03/07/2025 | 04:40 MYT
Hamidin menerima Anugerah Jasamu Dikenang pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam, malam tadi. - Gambar Facebook FAM
KUALA LUMPUR: Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin telah menerima Anugerah Jasamu Dikenang pada Majlis Anugerah Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 2024 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Anugerah itu sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam pembangunan bola sepak Malaysia termasuk memperkasakan peranan institusi pengajian tinggi dalam ekosistem sukan negara.

"Tan Sri Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dilihat sebagai figura utama yang meletakkan asas kukuh untuk kemajuan sukan nombor satu negara.

"Beliau mula mencurahkan bakti sebagai Setiausaha Eksekutif Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) pada 1995 dan seterusnya Setiausaha Agung FAS selama 15 tahun bermula 1998, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Agung FAM pada 2013 hingga 2018," menurut kenyataan FAM yang dikeluarkan di Facebook hari ini.

Hamidin pernah memegang jawatan Naib Presiden FAM dari 2010 hingga 2013, dan kemuncak kepimpinan figura berusia 59 tahun itu terserlah apabila beliau dipilih sebagai Presiden FAM ketujuh pada 2018.

UiTM menjadi antara institusi yang menerima limpahan manfaat daripada visi dan kepimpinan beliau.

"Antara sumbangan signifikan Hamidin termasuklah pengiktirafan UiTM sebagai Pusat Kecemerlangan Bola Sepak pada 2010, selain memainkan peranan penting dalam penubuhan Akademi Bola Sepak Negara KPT-UiTM-FAM.

"Beliau turut menubuhkan pelantikan panel penasihat sukan universiti serta perlaksanaan pelbagai kursus kejurulatihan, pengurusan sijil bola sepak dan program pembangunan bola sepak peringkat IPT menerusi kerjasama strategik antara FAM dan UiTM," menurut FAM.

-- BERNAMA



#Hamidin Mohd Amin #Presiden Kehormat FAM #Anugerah Jasamu Dikenang #Majlis Anugerah Sukan UiTM