Skip to main content

Malaysia

Hampir 100,000 kandungan berunsur penipuan diturunkan sehingga Julai

JOHOR BAHRU, 22 Ogos -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berucap pada Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kempen Internet Selamat di Dewan Serbaguna Sri Tebrau hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berucap pada Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kempen Internet Selamat di Dewan Serbaguna Sri Tebrau hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

JOHOR BAHRU: Sebanyak 99,693 kandungan media sosial berunsur penipuan termasuk scam telah diturunkan setakat 15 Julai tahun ini, melebihi jumlah 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang 2025.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata jumlah permohonan untuk menurunkan kandungan berkenaan yang dihantar kepada platform media sosial seperti Meta, TikTok dan YouTube pula adalah sebanyak 106,268 dalam tempoh sama, berbanding 102,113 permohonan sepanjang tahun lepas.

“Memang ada sedikit perbezaan kerana walaupun permohonan itu dihantar oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), platform masih mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau sebaliknya kandungan berkenaan.

“Namun, untuk kes scam kadar pematuhan (platform) biasanya melebihi 90 peratus,” katanya kepada pemberita selepas Program MADANI Kita (PMK) 2026 Negeri Johor di Dewan Raya Taman Desa Skudai.

Sementara itu, sempena bulan kemerdekaan Teo mengingatkan masyarakat agar memastikan Jalur Gemilang dikibarkan mengikut tatacara yang betul kerana bendera kebangsaan merupakan simbol penting negara.

Beliau berkata Jabatan Penerangan (JaPEN) turut melaksanakan kempen “1Rumah 1Jalur Gemilang” sepanjang Bulan Kebangsaan dari Ogos hingga September bagi menggalakkan rakyat mengibarkan bendera negara. 

Beliau juga berkata ia sebagai usaha membantu mengingatkan masyarakat agar mengibarkan jalur gemilang dengan dengan betul.

“.... kami menerima banyak aduan bahawa tindakan yang diambil sama ada oleh pihak berkuasa tempatan atau polis tidak sama apabila melibatkan lokasi berbeza.

“Saya rasa itu juga merupakan satu isu yang kita perlu beri perhatian kerana kami tidak mahu wujudkan ketakutan dalam kalangan orang awam untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement