KUALA LUMPUR: Kira-kira 30,000 penjawat awam setakat ini masih belum mendapat suntikan vaksin COVID-19.

Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, mereka yang belum divaksin itu tidak tergolong dalam kumpulan anti vaksin.

Menjelaskannya, beliau memberitahu, tidak ada sebarang bukti atau pendedahan nyata yang mendakwa mereka golongan anti vaksin.

"Sebahagiannya mungkin gagal mendaftar dalam MySejahtera, sebahagian mereka, kesihatannya tidak mengizinkan, sebahagian mereka pula dalam kumpulan-kumpulan berisiko divaksinasi kerana penyakit yang mereka sedia ada dan sebahagiannya tidak selesa.

"Tetapi untukk meletakkan mereka sebagai kumpulan anti vaksin adalah tidak wajar, mereka bukan dalam kumpulan itu," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Adnan memaklumkan, Ceupacs juga mendapati ada penjawat awam yang belum bersedia atau takut untuk menerima suntikan vaksin

Justeru itu, beliau meminta ketua-ketua jabatan untuk mengenal pasti golongan terbabit dan membantu mereka memahami kepentingan mendapatkan vaksin.

"Sebagai penjawat awam, mereka bertanggungjawab membawa dasar kerajaan dan menjadi contoh kepada rakyat.

"Ini kerana segala pergerakan mereka sering diberi fokus yang akhirnya jika tidak divaksinasi maka akan menjadi contoh tidak baik kepada rakyat," jelasnya.

Bagaimanapun, Adnan memberitahu, jumlah 30,000 penjawat awam yang tidak divaksin tidaklah besar berbanding jumlah keseluruhan penjawat awam di Malaysia.