[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Hampir 30 peratus spesies karang di Mersing "near threatened" - Jabatan Perikanan Johor

Bernama 29/09/2025 | 21:30 MYT
Menurut data pemantauan di Taman Laut Sultan Iskandar, kawasan itu kini mempunyai tutupan karang hidup pada tahap 43 peratus dengan 261 spesies karang keras daripada 16 famili. - Jabatan Perikanan Negeri Johor
MERSING: Hampir 30 peratus daripada 261 spesies karang keras yang direkodkan di perairan Mersing tergolong dalam kategori Near Threatened atau hampir terancam menurut senarai Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), menandakan ekosistem berkenaan kaya dengan biodiversiti, namun memerlukan perhatian serius.

Pengarah Perikanan Negeri Johor Rosmawati Ghazali berkata menurut data pemantauan di Taman Laut Sultan Iskandar, kawasan itu kini mempunyai tutupan karang hidup pada tahap 43 peratus dengan 261 spesies karang keras daripada 16 famili.

Seiring dengan usaha pemuliharaan, Jabatan Perikanan Negeri Johor semalam melabuhkan 10 unit tukun tiruan jenis kuboid penghalang pukat tunda di perairan Pulau Aur, Mersing bagi memperkukuh perlindungan marin.

Beliau berkata inisiatif berkenaan bukan sahaja bertujuan menghalang aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan pukat tunda, malah berfungsi sebagai pembentuk ekosistem baharu yang menyokong pertumbuhan stok perikanan.

"Program melabuh tukun tiruan ini adalah sebahagian daripada strategi jabatan untuk memastikan kelestarian sumber marin. Ia penting dalam memulihkan produktiviti perikanan tangkapan, melindungi sumber rezeki komuniti nelayan, dan menjamin kelangsungan sektor perikanan negeri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurut kajian Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dan Jabatan Perikanan Malaysia pada 2020, satu tapak tukun tiruan mampu merekodkan antara 129 kilogram hingga 6,047 kilogram biomassa ikan dengan nilai sumber ikan komersial tertinggi mencecah RM84,759.60.

Hingga kini, sebanyak 247 unit tukun tiruan telah dilabuhkan di 12 lokasi utama perairan Johor dengan 80 peratus daripadanya tertumpu di daerah Mersing termasuk Pulau Tinggi, Pulau Sibu, Pulau Lima, Pulau Besar, Pulau Mertang dan Air Papan. Nilai ekonomi keseluruhan tukun tiruan di Johor dianggarkan mencecah RM20 juta.

Projek melabuh tukun tiruan tahun ini dilaksanakan dengan peruntukan RM400,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

Usaha itu turut menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memperkukuh daya tarikan pelancongan lestari menjelang Tahun Melawat Johor 2026, menjadikan pulau-pulau di Taman Laut Sultan Iskandar sebagai destinasi pelancongan marin bertaraf dunia serta model pengurusan biodiversiti laut mampan pada peringkat nasional.

-- BERNAMA




#spesies karang keras #near threatened #Mersing #jabatan perikanan johor