Hampir 3,000 kebakaran terbuka dilaporkan sejak awal tahun - Bomba

Menurut JBPM, kebakaran belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama apabila mencatatkan 2,187 kes atau 75 peratus bagi tempoh berkenaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,917 kes kebakaran terbuka melibatkan kawasan seluas 328 hektar dilaporkan bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, peningkatan ketara sebanyak 300 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan memaklumkan sehingga hari ini seluas 287 hektar daripada jumlah keluasan yang terlibat dalam kebakaran terbuka itu berjaya dipadamkan, manakala baki 41 hektar masih dalam tindakan pemadaman.
"Jumlah ini menunjukkan peningkatan yang amat signifikan berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya iaitu 729 kes pada 2025 yang melibatkan keluasan 11.19 hektar dan 66 kes pada 2024 dengan keluasan 55.03 hektar," menurut kenyataan itu.
Menurut JBPM kebakaran belukar dikenal pasti sebagai penyumbang utama apabila mencatatkan 2,187 kes atau 75 peratus bagi tempoh berkenaan berbanding 440 kes (60 peratus) pada tahun lepas dan 53 kes (80 peratus) pada 2024.
Selain itu, kebakaran di tapak pelupusan sampah haram turut menyumbang kepada peningkatan kumulatif kes di seluruh negara dengan 431 kes direkodkan pada tempoh sama, berbanding 244 kes pada 2025 dan hanya sembilan kes pada 2024.
Menurut JBPM peningkatan ketara itu boleh dikaitkan dengan keadaan cuaca semasa yang panas, kering serta berangin yang dijangka berterusan di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia hingga 31 Jan ini, berdasarkan analisis terhadap model ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
"Keadaan cuaca panas, kering dan berangin ini berpotensi meningkatkan risiko kemerebakan kebakaran terbuka, terutamanya melibatkan kawasan belukar dan tapak pelupusan sampah haram, selari dengan trend peningkatan kes yang direkodkan JBPM sepanjang tempoh berkenaan," menurut kenyataan itu.
Kes kebakaran terbuka yang masih aktif setakat ini tertumpu di Johor melibatkan kawasan di Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Desa Selatan Kampung Lepau serta Tapak Pelupusan Sampah Bukit Tuatau Bandar Penawar dan operasi pemadaman sedang giat dijalankan oleh JBPM Johor.
"JBPM sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi dan menasihatkan orang awam agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka serta sentiasa mematuhi peraturan dan langkah keselamatan yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa, harta benda dan alam sekitar," menurut kenyataan itu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


