Hampir 400 individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai institusi terbabit dalam sesi libat urus yang dijalankan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mendapatkan input terhadap penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Tenaga Atom.

Menterinya Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ia penting bagi membolehkan RUU itu yang akan menggantikan Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304), dapat diperkemaskan lagi sesuai dengan peredaran masa.

"RUU ini bertujuan bagi menggantikan Akta 304 sedia ada di mana akta ini sudah dilihat tidak berapa terkini dan perlu diganti terus dengan RUU yang baharu yang boleh mengawal selia segala kegiatan yang berkaitan dengan tenaga atom dan apa-apa yang berkaitan dengan bahan radioaktif di Malaysia," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sambutan masyarakat awam dalam memberikan maklum balas serta cadangan kepada kementerian terhadap RUU berkenaan, yang berlangsung dari 7 hingga 21 Julai lepas.

Mengulas lanjut, Khairy Jamaluddin berkata RUU berkenaan dijangka dibentangkan di Parlimen, akhir tahun ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Rembau itu meluangkan masa lebih sejam menyantuni 30 buah keluarga yang terjejas ekoran banjir kilat yang berlaku di Kampung Bemban di sini, 13 Julai lepas.

"Hari ini kita menyerahkan bantuan wang tunai, barangan dapur serta penyerahan Jalur Gemilang bersempena bulan Kemerdekaan," katanya.