MALAYSIA
Hampir 500 sertai himpunan ‘Justice for Zara’ di ibu negara

Dianggarkan hampir 500 peserta membanjiri pekarangan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara bagi menyatakan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang disahkan meninggal dunia sebulan lalu. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Dianggarkan hampir 500 peserta membanjiri pekarangan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara bagi menyatakan solidariti buat Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, yang disahkan meninggal dunia sebulan lalu.
Ringkasan AI
- Hampir 500 peserta berhimpun secara aman di ibu negara bagi menuntut keadilan atas kematian Zara Qairina, 13, dengan membawa plakad dan sepanduk anti-buli.
- Peserta juga gesa siasatan telus terhadap kematian Syamsul Haris Shamsuddin, 22, pelatih PALAPES UTM.
- Polis mengesahkan himpunan terkawal dengan 100 anggota ditugaskan menjaga keselamatan.
Tanpa mengira latar belakang, ucapan daripada beberapa peserta terlibat bermula sekitar 8.30 malam sebelum berakhir pada jam 10.40 malam.
Selain menuntut keadilan buat Allahyarham Zara Qairina, para peserta juga menggesa siasatan secara telus terhadap kematian Allahyarham Syamsul Haris Shamsuddin, 22, pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai.
“Kita nak sampaikan satu mesej supaya keadilan dapat ditegakkan, dan jika ada orang yang bersalah, (mereka) perlu diheret ke muka pengadilan.
“Kita bermohon juga kepada pihak berkuasa supaya setidak-tidaknya mengambil (tindakan) dan memaklumkan kepada masyarakat apa yang telah berlaku,” kata Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Irwan Fahmi Ideris dalam ucapannya di sini, malam ini.
Sementara itu, beberapa individu yang ditemui Astro AWANI menyifatkan kematian Zara Qairina sebagai meninggalkan kesan mendalam dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan ibu.
"Saya sebagai seorang ibu, saya sangat terkesan. Sebab kes ini dah berapa hari berlalu, sampai sekarang tak ada pun macam satu benda yang kita boleh pastikan benda ni boleh dapat keadilan dan selesai," kata Juliani Asmuni, yang berasal dari Lahad Datu, Sabah.
Bagi peniaga, Mohd Daniel Hisham Abdul Hafiz pula, dia mahu individu yang menjadi mangsa buli agar berani bersuara bagi menghentikan perbuatan tersebut.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika dihubungi memaklumkan himpunan berlangsung dalam keadaan terkawal.
Ujar beliau, pihaknya telah menempatkan 100 anggota polis bagi memastikan keselamatan serta kelancaran perhimpunan tersebut.
Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu.
Allahyarham kemudian disahkan meninggal dunia sehari selepas itu di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami