MALAYSIA
Hampir 900,000 warga asing pemegang LMM tidak dapat beli RON95 harga subsidi

Loke (foto) berkata bukan warganegara akan membeli petrol pada harga pasaran RM2.60 seliter sekali gus membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan subsidi sebanyak berbilion ringgit. -Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kira-kira 900,000 bukan warganegara yang memiliki Lesen Memandu Malaysia (LMM) kini tidak lagi dapat membeli petrol RON95 dengan harga yang disubsidi kerajaan, selepas pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Ringkasan AI
- Seramai 878,279 bukan warganegara yang memiliki Lesen Memandu Malaysia kini tidak lagi layak membeli petrol RON95 pada harga subsidi selepas pelaksanaan BUDI MADANI RON95.
- Mereka akan dikenakan harga pasaran RM2.60 seliter, sekali gus menjimatkan perbelanjaan subsidi kerajaan yang sebelum ini turut dinikmati oleh hampir 900,000 warga asing.
- Subsidi bersasar ini hanya diberikan kepada warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu sah, dengan lebih 16 juta rakyat dijangka menerima manfaat.
"Maksudnya selama ini kerajaan kita memberikan subsidi kepada hampir 900,000 orang warga asing yang sudah tentu dia ada lesen, dia memandu di Malaysia, beli kereta di Malaysia, dan dia juga dapat subsidi," katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan BUDI95, di sini hari ini.
Loke berkata bukan warganegara akan membeli petrol pada harga pasaran RM2.60 seliter sekali gus membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan subsidi sebanyak berbilion ringgit.
Beliau berkata pelaksanaan subsidi bersasar adalah langkah adil kerana hanya rakyat Malaysia berhak mendapat manfaat bantuan kerajaan manakala pemegang kad pengenalan merah atau dokumen bukan warganegara tidak lagi layak.
Pada 22 Sept lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 dikurangkan kepada RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter, berkuat kuasa hari ini melalui penyasaran subsidi di bawah program BUDI95.
Kesemua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak menerima subsidi itu.
Berdasarkan data daripada JPJ dan Jabatan Pendaftaran Negara, lebih 16 juta orang dijangka mendapat manfaat daripada program berkenaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami