MALAYSIA
Hampir dua juta saman tertunggak, JPJ seru bayar sebelum 31 Dis

Muhammad Kifli (kanan) melakukan pemeriksaan pada sebuah motosikal yang disita atas pelbagai jenis kesalahan pada Operasi Khas Gempur Kenderaan Perkhidmatan Barangan di Akademi Pengangkutan Jalan Wilayah Timur malam tadi. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Hampir dua juta pengguna jalan raya bakal berdepan tindakan disenaraihitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya gagal menjelaskan saman tertunggak sebelum 31 Dis ini.
Ringkasan AI
- Hampir dua juta pengguna jalan raya berdepan risiko disenaraihitam oleh JPJ jika gagal menjelaskan 1,919,859 saman tertunggak sebelum 31 Disember, termasuk saman AwAS, notis 114 dan notis 115.
- Pengguna yang menyelesaikan saman dalam tempoh tawaran kadar istimewa hanya dikenakan bayaran RM150 dan dikecualikan daripada Mata KEJARA, manakala selepas tamat tempoh, kadar kompaun kembali kepada RM300 serta dikenakan tindakan senarai hitam.
- Lokasi tertinggi saman AwAS ialah Terowong Menora, Perak, dengan purata 3,000 saman sehari, manakala negeri tertinggi ialah Selangor, Perak dan Johor; pengguna jalan raya diseru segera melangsaikan saman bagi mengelak tindakan tegas.
Beliau berkata pengguna jalan raya yang menjelaskan saman tertunggak sepanjang tempoh tawaran kadar istimewa hingga 31 Dis, hanya dikenakan bayaran RM150 dan dikecualikan daripada Mata KEJARA (Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya).
"Selepas tamat tempoh tersebut, kadar kompaun akan kembali kepada RM300 serta dikenakan Mata KEJARA, manakala pesalah trafik juga akan disenarai hitam," katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di sini, malam tadi.
Muhammad Kifli berkata saman AwAS merupakan kategori paling banyak direkodkan, dengan lokasi tertinggi di Terowong Menora, Perak, yang mencatat purata 3,000 saman sehari pada musim cuti persekolahan dan perayaan.
"Negeri paling tinggi jumlah saman ialah Selangor, Perak dan Johor, iaitu antara negeri yang mempunyai paling banyak kamera AwAS. Setakat ini, terdapat 49 kamera AwAS yang beroperasi di seluruh negara bagi penguatkuasaan had laju dan lampu isyarat," katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat saman yang masih tertunggak sejak lebih 10 tahun, khususnya melibatkan notis 114 dan 115.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya untuk segera melangsaikan saman tertunggak bagi mengelakkan tindakan lebih tegas selepas tamat tempoh tawaran.
"Masih ada lebih kurang tiga bulan lagi. Ambil peluang ini untuk menyelesaikan saman dengan kadar istimewa dan elak daripada dikenakan tindakan lebih berat selepas ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami