Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Loga Bala Mohan di dalam Dewan Negara sebentar tadi mengatakan yang hanya 116,418 daripada 1,111,268 notis kesalahan lalu lintas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dibayar sejak Januari hingga 31 Okt tahun ini.
Pembayaran yang telah dibuat menjadikan jumlah kutipan adalah sebanyak RM7,182,110.
Dr Loga menambah bahawa sudah menjadi kebiasaan bagi mereka yang menerima notis tidak akan membayar kompaun dengan pantas. Bahkan dikatakan ramai juga tidak membayar pada tahun yang sama.

Berdasarkan rekod, tahun 2013 mencatatkan 1,102,440 notis dikeluarkan tetapi cuma 185,919 telah dibayar untuk memberi kutipan berjumlah RM8,480,509.
Bagi tahun 2014 pula 1,153,925 notis telah dikeluarkan dengan 147,026 pembayaran dilakukan oleh penerima notis, bersamaan jumlah kutipan RM9,823,404.
Dalam persidangan sama, Dr Loga turut menjawab pertanyaan mengenai isu kekurangan tempat letak kenderaan di ibu negara. “Untuk pengetahuan Yang berhormat, bangunan yang didirikan dan peruntukan parkir yang disediakan adalah mengikut peruntukan Akta Pembangunan yang sedia ada. Oleh itu kita mengikut apa yang diperuntukkan pada akta.”

Antara yang menjadi sumber masalah ini mengikut beliau adalah kadar pertambahan penduduk serta kemampuan untuk penduduk untuk memiliki lebih daripada sebuah kereta.
"Namun kalau kita lihat keperluan parkir pada masa kini, bila keluarga bertambah, dapat membeli kereta lebih banyak dan apa yang disediakan pada awalnya memang tidak mencukupi... dan ini memang menjadi masalah terutama di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur. Kami sedang mengkaji cara-cara untuk perbaiki keadaan ini," katanya.
Sumber berita: Bernama
Gambar: Facebook DBKL