Hampir semua daerah di Semenanjung zon merah, kata Dr Noor Hisham

Astro Awani
Mei 21, 2021 01:10 MYT
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (R-naught) COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan peningkatan.
Angka itu naik pada kadar 1.13 pada Khamis berbanding 1.10 hari sebelumnya.
Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan nilai kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.43.
Manakala antara negeri dan wilayah lain yang mencatatkan R-naught tinggi dan melebihi angka 1.0 adalah Terengganu, Kedah, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Kelantan satu-satunya negeri yang mencatatkan kadar kebolehjangkitan di bawah angka 1.0.
Setakat ini, kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 13 Januari ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.
Manakala yang tertinggi pernah dicatatkan ialah 1.19 pada 17 April lalu.
Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Sementara itu, menerusi perkongsian di Twitter rasminya awal pagi ini, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, tiada lagi zon hijau di Semenanjung Malaysia.
Ini berdasarkan pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 setakat 19 Mei lalu.

Situasi semasa daerah-daerah di Malaysia berdasarkan pergerakan 14 hari taburan kes COVID-19 setakat 19 Mei 2021. Hanya 7 daerah zon kuning manakala tiada lagi zon hijau di Semenanjung. Jaga diri Jaga keluarga. Amalkan 'PKP Kendiri atau self lockdown'. pic.twitter.com/NRxEdyAyXM

— Noor Hisham Abdullah (@DGHisham) May 20, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Mengikut laporan yang dilampirkan, hanya tujuh daerah berada dalam zon kuning iaitu di Perak Tengah, Mersing, Cameron Highlands, Kemaman, Hulu Terengganu, Gua Musang dan Sik.
Lapan lagi daerah dalam zon jingga sementara yang lainnya, zon merah.
Justeru, beliau menggesa agar rakyat Malaysia mengamalkan PKP kendiri.
#COVID-19 #R-Naught #kadar kebolehjangkitan #Labuan