Skip to main content

Malaysia

Hampir semua kru kabin Malaysia Airlines lulus ujian dadah

 MAG PC
Nasaruddin (tengah) semasa sidang media pelancaran perkhidmatan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Busan serta perkhidmatan Firefly ke China. -Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 98.8 peratus kru kabin Malaysia Airlines yang menjalani saringan dadah didapati negatif bahan terlarang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG), Nasaruddin A Bakar berkata baki 1.2 peratus kru kabin akan menjalani saringan berkenaan hari ini.

Beliau berkata proses saringan itu akan diteruskan secara berperingkat dan turut melibatkan juruterbang.

“Ini akan menjadi proses berterusan, termasuk untuk juruterbang,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pelancaran perkhidmatan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Busan serta perkhidmatan Firefly ke China, di sini.

Pada Ogos, MAG memutuskan untuk menjalankan saringan dadah terhadap 2,840 kru kabin Malaysia Airlines susulan penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan itu di Indonesia pada Julai.

Pada 17 Ogos lalu, MAG memaklumkan semua juruterbang Malaysia Airlines yang aktif dalam operasi telah menjalani saringan dan disahkan negatif dadah.

Pada 29 Julai lalu, seorang juruterbang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia selepas didapati memiliki 25 kilogram pil ekstasi dan 2.7 gram methamphetamine di dalam bagasinya.

Suspek yang dilaporkan dijanjikan bayaran RM50,000 untuk menyeludup dadah itu turut didapati positif methamphetamine, ekstasi dan kokain.

Bagaimanapun, suspek ketika itu berada di kerusi lompat (jump seat) kokpit dan bukan sebahagian daripada kru penerbangan yang mengendalikan pesawat berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement