[TERKINI] Ikuti pembentangan Bajet 2026 secara langsung – video tumpuan, undian anda serta analisis penuh di sini!
MALAYSIA

Hannah Yeoh puji kecekapan Saifuddin tangani isu kewarganegaraan

Bernama 10/10/2025 | 06:40 MYT
Hantaran lama Hannah pada 2022, yang didakwa menunjukkan pendiriannya tidak konsisten. - Gambar/ FB Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memuji kecekapan dan keprihatinan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang berjaya menyelesaikan 49,000 permohonan kewarganegaraan serta kes tiada kerakyatan tertunggak, sekali gus memperkukuh komitmen Kerajaan MADANI dalam melindungi kebajikan kanak-kanak.


Ringkasan AI
  • Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memuji kecekapan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution yang berjaya menyelesaikan 49,000 permohonan kewarganegaraan dan kes tiada kerakyatan tertunggak, sebagai bukti komitmen Kerajaan MADANI terhadap kebajikan kanak-kanak.
  • Hannah menyatakan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan ibu warganegara menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak lahir di luar negara sebagai pencapaian penting di bawah kepimpinan Saifuddin.
  • Menjawab kritikan terhadap hantaran lamanya, Hannah menjelaskan bahawa situasi kini berbeza di bawah pentadbiran MADANI dengan pelaksanaan inisiatif baharu seperti penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak, dan menggesa agar fakta dipisahkan daripada manipulasi politik di media sosial.


Hannah berkata pencapaian itu mencerminkan pendekatan berjiwa rakyat yang ditonjolkan Saifuddin dalam memastikan hak setiap kanak-kanak dilindungi tanpa mengira latar belakang.

"Berdasarkan pengetahuan saya, belum ada Menteri Dalam Negeri yang menunjukkan sifat belas ihsan dan kecekapan seperti yang dilakukan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution.

"Di bawah kepimpinannya juga, Perlembagaan Persekutuan telah dipinda untuk membolehkan ibu warganegara Malaysia menurunkan kewarganegaraan kepada anak-anak yang lahir di luar negara," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menjawab dakwaan segelintir pihak yang memetik hantaran lama beliau pada 2022, kononnya bagi menunjukkan pendiriannya tidak konsisten, Hannah menjelaskan bahawa situasi ketika ini jauh berbeza di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.

Beliau berkata kritikan itu dibuat sebelum pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu, termasuk penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak pada 2023 di bawah pimpinan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

"Membezakan fakta adalah satu latihan penting dalam dunia digital hari ini. 'Cybertrooper' dan segelintir ahli politik gemar memilih hantaran secara rawak tanpa menggunakan daya fikir yang kritis," katanya.

-- BERNAMA





#Hannah Yeoh #Saifuddin Nasution #FAM #isu kerakyatan