Hantar bantuan banjir perlu kebenaran polis, digalakkan jalani saringan - Ismail Sabri

Hilmi Malik
Januari 12, 2021 11:02 MYT
Individu yang ingin menghantar bantuan digalakkan jalani saringan COVID-19 supaya tidak mendatangkan risiko kepada mangsa banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
KUALA LUMPUR: Sebarang pergerakan penghantaran bantuan kepada mangsa banjir di beberapa buah negeri hendaklah mendapat kebenaran daripada pihak polis termasuk melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mana-mana pihak yang terlibat dengan misi menghantar bantuan kemanusiaan juga perlu melaporkan diri di pusat kawalan bencana daerah.
Tujuan laporan berkenaan dibuat di pusat kawalan bencana daerah, kata beliau, adalah bertujuan supaya kerja-kerja misi bantuan berada dalam pengetahuan pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menggalakkan mana-mana individu yang ingin menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir untuk terlebih dahulu melakukan saringan COVID19.
“Jika kita ingin menjaga keselamatan mereka (mangsa banjir) adalah digalakkan buat saringan COVID-19 sebelum menuju ke lokasi banjir.
“Ada kawasan yang mungkin zon hijau dan mungkin ada pihak yang menghantar bantuan dari zon merah jadi lebih baik pastikan dahulu status kesihatan supaya negatif COVID-19,” kata Ismail Sabri dalam sidang media pada Selasa.
Misi kemanusiaan dibenarkan dengan kebenaran polis
Tegas beliau, keperluan melakukan ujian saringan COVID0-19 adalah bagi memastikan pihak yang menghantar bantuan ke lokasi banjir tidak mendatang risiko kepada mangsa banjir di negeri-negeri yang terlibat.
Sehingga kini, terdapat beberapa buah negeri yang masih terjejas akibat banjir antaranya Pahang, Johor dan Kelantan.
#NGO #mangsa banjir #COVID-19 #ismail sabri yaakob #PKP