KUALA KANGSAR: Seorang pekerja swasta mendapat gelaran 'hantu laksa' apabila berjaya menghabiskan sekilogram makanan itu dalam tempoh enam minit.

Muhammad Anuar Abd Ghoni, 29, berjaya membawa pulang RM300 apabila menjuarai Cabaran 'big bowl' Laksa sempena Temasya 99 Laksa Kuale di Arena Kuala Kangsar di sini pada Sabtu.

Dia yang juga penggemar juadah laksa sanggup memandu sejauh 133 kilometer dari Hutan Melintang semata-mata untuk memasuki pertandingan yang julung kali diadakan itu.

Menurutnya, rasa laksa yang dihidangkan itu menepati citarasanya menjadi faktor dia dapat menghabiskan makanan itu dalam masa singkat.

"Saya memang sukakan laksa dan apabila rakan-rakan beritahu ada temasya 99 Laksa ini, jadi saya tidak teragak-agak untuk terus datang ke daerah ini bagi menyertai cabaran tersebut.

"Apabila wisel dibunyikan, saya terus fokus untuk habiskan sebesen laksa tanpa menoleh ke arah sembilan peserta lain.

Raja Nazhatul Shima melihat kepekatan kuah laksa yang disediakan di gerai Haji Arfan Nordin pada Temasya 99 Laksa Kuale di Kuala Kangsar pada Sabtu.

"Disebabkan rasanya yang sedap, saya berjaya habiskan dengan mudah dan selepas ini saya ingin cuba laksa di 50 gerai yang disediakan di sini," ujarnya.

Temasya 99 Laksa Kuale dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) berikutan juadah berkenaan signifikan dengan daerah itu telah dirasmikan oleh Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah.

Hadir sama, Yang Dipertua Baiduri Perak, Datin Seri Aezer Zubin; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Angka 99 diambil daripada perkataan Kuala Kangsar iaitu Kuala Kurang Sa yang bermaksud terdapat 99 anak sungai dan kurang satu kepada 100.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad berkata, penganjuran temasya itu merupakan usaha untuk menarik lebih ramai pelancong ke Bandar Diraja ini.

"Daerah Kuala Kangsar amat terkenal dengan pelancongan bertemakan warisan, budaya serta kraftangan dan temasya ini dapat menyuntik semula ekonomi penggiat industri pelancongan daerah ini selepas berlakunya wabak Covid-19.

"Hampir 50 pengusaha laksa dan cendol berjaya dikumpul hari ini. Diharapkan temasya ini menjadi salah satu acara pelancongan tahunan selain acara-acara lain seperti Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin," katanya.


*Berita asal di Sinar Harian