Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Hanya 0.45 peratus daripada penduduk Kelantan ikrar derma organ

Bernama 14/08/2025 | 07:50 MYT
Datuk Dr Zaini Hussin berkata program ikrar organ diperkenalkan pada 1997. - Gambar fail
KOTA BHARU: Kesedaran masyarakat terhadap pendermaan organ di Kelantan masih rendah apabila cuma 0.45 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini menjadi pengikrar penderma organ.


Ringkasan AI
  • Hanya 0.45 peratus penduduk Kelantan menjadi pengikrar penderma organ sejak program diperkenalkan pada 1997, menjadikan negeri itu paling rendah dalam senarai nasional.
  • JKNK menyatakan keperluan organ seperti buah pinggang, kornea, jantung dan hati semakin tinggi, namun kekangan seperti mitos, persepsi agama dan sokongan keluarga menjadi halangan utama.
  • Usaha meningkatkan kesedaran memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk pakar, pihak berkuasa dan ilmuwan agama bagi menjelaskan manfaat dan proses pendermaan organ kepada masyarakat.


Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata program ikrar organ diperkenalkan pada 1997.

"Kadar pendaftaran penderma organ terutama dalam kalangan penduduk luar bandar dan golongan muda masih rendah serta perlu ditingkatkan. Selain menggalakkan orang ramai menjadi pengikrar, kita juga perlu tingkatkan jumlah penderma.

"Keperluan organ agak tinggi terutama buah pinggang dan kornea mata selain jantung dan hati. Seorang penderma boleh menyelamatkan sehingga tiga hingga empat nyawa untuk mendapat kehidupan baharu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Kesedaran Pendermaan Organ 2025 Peringkat Kelantan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini hari ini.

Dr Zaini berkata tanggungjawab menyemarakkan kesedaran penduduk terhadap pendermaan organ menuntut kerjasama semua pihak kerana masyarakat memerlukan penjelasan daripada pakar, pihak berkuasa dan ilmuwan agama.

Beliau berkata walaupun ramai yang menyokong secara prinsip, namun masih terdapat kekangan dari segi kefahaman, mitos, persepsi agama dan juga sokongan ahli keluarga berhubung pendermaan organ.

"Mungkin banyak perkara yang bermain dalam fikiran menyebabkan mereka takut menjadi pengikrar atau penderma organ, sebab itu perlunya penjelasan diberikan oleh pelbagai pihak," katanya.

Beliau berkata antara persepsi atau halangan untuk menderma organ yang dikenal pasti adalah keluarga mahu menghormati jenazah dan dibimbangi proses pemindahan organ mungkin menyebabkan kelewatan pengebumian.

Berdasarkan Pusat Sumber Transplan Nasional, Kelantan berada pada kedudukan terakhir daripada 16 pecahan negeri dan wilayah senarai pengikrar derma organ di Malaysia iaitu 0.45 peratus, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatat jumlah tertinggi dengan 2.32 peratus pengikrar.

-- BERNAMA




#Kelantan #penderma organ #ikrar organ #Dr Zaini Hussin