Hanya 10 peratus benih sayuran keluaran tempatan - Salahuddin

Hilal Azmi
Jun 26, 2018 09:27 MYT
SALAHUDDIN: Kita akan berjumpa dengan pelbagai pihak bagi mengurangkan kebergantungan import benih - Foto Facebook/Salahuddin Ayub
Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mengurangkan kebergantungan benih import.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, perbincangan membabitkan pakar tempatan amat penting memandangkan Malaysia banyak mengimport benih terutamanya sayuran untuk kegunaan tempatan.
Katanya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) antara agensi yang dilihat dapat membantu golongan petani mendapat sumber benih yang lebih murah dan berkualiti.
“Benih ini kita banyak import iaitu sebanyak 90 peratus dan hanya 10 peratus sahaja kita buat di peringkat tempatan jadi, ini kita perlu lihat.
"Mungkin bukan dalam jangka masa terdekat tetapi ia mesti bermula dengan kita memikirkan tentang industri benih,” katanya selepas lawatan kerja ke Projek Usahawan Tani Bukit Damar pada Selasa.
Antara penanaman sayur yang menggunakan benih tempatan ialah tanaman seperti timun dan kacang panjang.
Dalam pertemuan berkenaan Salahuddin telah mengadakan dialog bersama beberapa pengusaha projek berkenaan yang berkisar tentang isu-isu seperti harga benih import yang mahal, petani-petani kecil menjadi mangsa orang tengah dan pendatang asing mengusahakan ladang sayuran.
Selain itu, isu menguatkuasaan undang-undang termasuk pembentangan rang undang-undang benih turut diketengahkan dalam usaha memberi perlindungan terhadap pengusaha-pengusaha sayuran tempatan.
#benih #import #ladang #MARDI #Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani #Salahuddin Ayub #sayuran