Hanya 25 sukarelawan Food Flotilla For Myanmar dibenar turun ke lapangan - Abdul Azeez

Hilal Azmi
Februari 14, 2017 11:05 MYT
Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (kanan) menyerahkan barangan misi bantuan Food Flotilla for Myanmar kepada Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh (BRCS) BMM Mozharul Huq (kiri) hari ini. - Foto Bernama
Selepas dua jam pertemuan dengan wakil kerajaan Bangladesh, hanya 25 wakil misi “Food Flotilla For Myanmar" dibenarkan turun ke lapangan.
Ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihak Bangladesh bagaimanapun amat menghargai bantuan dari Malaysia.
Katanya, Pertubuhan Imigran Antarabangsa (IOM) akan menguruskan sebahagian besar bantuan yang dihantar ke pelabuhan Chittagong.
"Mereka (wakil kerajaan Bangladesh) maklumkan ada pihak hendak kekang hubungan baik antara Malaysia-Bangladesh, mereka bimbang kalau ada sukarelawan yang cedera atau mati, maka musnahlah hubungan yang sudah lama terbina," katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.
Jelasnya lagi, misi ini telah berjaya kerana persetujuan yang dicapai dengan kerajaan Bangladesh akan memastikan semua barangan yang dihantar diserahkan kepada etnik Rohingya yang berlindung di sini.
Kapal Nautical Aliya yang membawa lebih 180 sukarelawan daripada 12 buah negara selamat berlabuh di Pelabuhan Chittagong pada 12:30 tengahari tadi.
#'Food Flotilla for Myanmar' #Abdul Azeez Abdul Rahim #Bangladesh #Chittagong #Nautical Aliya #Rakhine #Rohingya #Sittwe #Teknaf #Yangon