KUALA LUMPUR: Sejumlah 49,687 individu daripada 132,404 permohonan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) layak menyertai program itu yang disediakan kerajaan bagi meningkatkan pendapatan rakyat terutamanya golongan B40 setakat 21 Nov, kata Kementerian Ekonomi.

Ia berkata daripada jumlah itu, individu yang layak mengikuti tiga inisiatif di bawah IPR itu meliputi 21,944 pemohon di bawah Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN), 13,192 di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) dan 14,551 pemohon di bawah Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

"Dalam mempergiat usaha membasmi kemiskinan, Kementerian Ekonomi melaksanakan IPR yang merupakan pelengkap kepada program-program pembasmian kemiskinan sedia ada yang telah dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi.

"Di bawah IPR, templat program dibangunkan dan bantuan secara in-kind diberi kepada peserta miskin tegar, miskin dan B40 bagi menyokong dan menggalakkan mereka untuk menjalankan aktiviti ekonomi dan menjana pendapatan tambahan," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman web Parlimen bertarikh 30 Nov.

Kementerian Ekonomi berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan sejauh manakah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan rakyat terutamanya golongan B40 serta jumlah penerima projek dan jumlah dana yang telah diluluskan bagi Sabah pada tahun ini.

Menurut kementerian itu, di bawah Inisiatif Usahawan Tani atau INTAN, kerajaan menyediakan bantuan berbentuk input dan peralatan moden pertanian, latihan dan khidmat nasihat teknikal serta elaun sara hidup sepanjang tempoh menunggu penuaian hasil.

"Sejumlah 1,020 peserta IPR - INTAN telah diluluskan pelaksanaan program di 15 lokasi berkeluasan 818 ekar di seluruh negara dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM92.6 juta.

"Bagi negeri Sabah, peruntukan berjumlah RM16 juta telah diluluskan bagi projek itu yang melibatkan 340 orang peserta," katanya.

Di bawah Inisiatif Usahawan Makanan atau INSAN pula, kerajaan menyediakan geran berbentuk bayaran sewaan mesin layan diri untuk tempoh dua tahun, katanya.

"Untuk permulaan, sejumlah 100 peserta di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan program rintis ini dan berjaya meraih purata jualan harian antara RM90 hingga RM400," katanya.

Sementara itu, Kementerian Ekonomi berkata melalui Inisiatif Operator Perkhidmatan atau IKHSAN pula, kerajaan menjadi pemudah cara dalam urusan pelantikan pekerja, menyediakan peralatan dan kelengkapan serta memberi bantuan elaun tambahan kepada peserta.

"Sejumlah 1,032 peserta telah diluluskan pelaksanaan program dengan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM14.2 juta," katanya.

Kementerian itu berkata pendekatan membasmi kemiskinan tegar menerusi pelaksanaan program secara bersasar sama ada secara individu, komuniti atau hibrid juga turut diteruskan berdasarkan profil ketua dan ahli isi rumah miskin tegar serta potensi lokaliti yang dipilih di seluruh negara.

"Sehingga kini, sejumlah 1,922 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah diluluskan projek dengan peruntukan sebanyak RM24.8 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan pendekatan ini khususnya di kawasan luar bandar.

"Jumlah tersebut turut merangkumi RM4.7 juta yang diperuntukkan bagi pelaksanaan program di sembilan lokaliti negeri Sabah," katanya.

Kementerian Ekonomi berkata dalam usaha berterusan untuk menoktahkan kemiskinan, adalah penting untuk mengekalkan dan menangani kesenjangan yang masih wujud bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus ditingkatkan.

"Kerajaan akan terus bertungkus-lumus membantu KIR miskin tegar untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pengukuhan perlindungan sosial," katanya.

-- BERNAMA