MALAYSIA

Hanya 8.4 peratus institusi pendidikan agama di Perak miliki kebenaran merancang

Bernama 10/07/2025 | 13:07 MYT
Saarani berkata institusi pendidikan agama itu merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, sekolah agama swasta, pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN). - Gambar fail
IPOH: Hanya 85 daripada 1,006 institusi pendidikan agama di Perak atau 8.4 peratus mempunyai Kebenaran Merancang (KM) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata institusi pendidikan agama itu merangkumi Tadika Islam Perak, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, sekolah agama swasta, pondok, tahfiz dan Akademi Insan Muda Ar-Ridzuan (AIMAN).

"Justeru saya berharap agar pihak yang bertanggungjawab, para pemegang taruh, khususnya pentadbir institusi dan agensi teknikal dapat duduk semeja untuk menyelaraskan tindakan penyelesaian secara tuntas bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini pada masa hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Seminar Kelestarian Integriti Pembangunan Institusi Pendidikan Agama: Bicara Integriti dan Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah Sektor Awam di sini hari ini

Dalam sidang media kemudiannya, Saarani berkata kerajaan negeri tidak pernah mengehadkan pertumbuhan institusi pendidikan agama namun sebarang pembangunan yang tidak mengikut prosedur boleh mengundang risiko besar kepada pelajar dan penghuni institusi berkenaan.

Beliau berkata, hasil daripada laporan yang diterimanya menunjukkan kebanyakan institusi dibina tanpa pelan rasmi atau KM kerana mahu mengurangkan kos selain tidak merujuk terlebih dahulu dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau agensi teknikal lain.

"Mereka mula pasang empat tiang dulu, kemudian tambah binaan apabila ada pelajar pulang belajar. Akhirnya keselamatan diabaikan. Pendawaian disambung sendiri tanpa khidmat orang bertauliah, ada yang sambung dari konduktor lampu, itu sangat bahaya," katanya.

Saarani berkata kerajaan negeri akan terus memperkukuh dasar pembangunan institusi pendidikan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030 yang meletakkan pengukuhan institusi sosial sebagai antara keutamaan di bawah teras sejahtera sosial.

-- BERNAMA

#institusi pendidikan #agama #Perak #Kebenaran Merancang #Saarani Mohamad