KUALA LUMPUR: Gelanggang keramat juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, sah dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2023.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL), dalam satu kenyataan, memaklumkan mereka hanya menerima bidaan daripada JDT untuk menjadikan SSI sebagai venue final Piala FA 2023 selepas proses bidaan ditutup pada jam 5 petang, 24 Mei llalu..

"Dalam tempoh bidaan dibuka pada 19 Mei hingga 24 Mei, hanya JDT mengemukakan permohonan di mana tiada sebarang bidaan diterima MFL daripada kelab lain atau memohon lanjutan tempoh bidaan meskipun peringatan sudah diberikan kepada semua kelab," menurut kenyataan dimuat naik di Facebook MFL, hari ini.

Bagi melayakkan bidaan, MFL menyatakan kelab dan venue perlawanan yang dinamakan hendaklah mematuhi syarat ditetapkan seperti termaktub dalam Manual Liga Malaysia 2023.

Antara kriteria ditetapkan adalah sokongan kerajaan tempatan serta pihak berkuasa dan keselamatan tempatan, kesediaan stadium serta fasiliti sedia ada menganjurkan perlawanan akhir berskala besar dan permukaan padang baik selain bersedia dengan sebarang keadaan cuaca dan pencahayaan diperlukan.

MFL menjelaskan pemilihan venue bagi edisi 2023 dibuat selepas mengambil kira perkembangan semasa Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang tidak boleh digunakan bagi final Piala FA 2023 yang dijadualkan berlangsung pada 22 Julai ini.

"SNBJ masih dalam proses penambahbaikan sehingga Oktober jadi MFL tidak dapat menggunakan stadium itu bagi final Piala FA kali ini," menurut kenyataan itu.

MFL juga menyatakan mereka tidak dapat menangguhkan final tersebut susulan kekangan kalendar pertandingan selepas Oktober yang padat seperti Liga Super, Piala Malaysia selain tugasan antarabangsa pasukan kebangsaan (FIFA days), Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bermula September hingga Disember ini.

-- BERNAMA