GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Hanya kapal Marinette masih belayar dalam misi GSF - SNCC

Bernama 03/10/2025 | 05:10 MYT
Kapal Marinette dilaporkan berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan hanya 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas bot lain dalam GSF. - REUTERS
SEPANG: Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan hanya satu daripada 42 kapal menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang masih meneruskan pelayaran ke perairan Gaza.

Berdasarkan paparan skrin di SNCC di sini, kapal Marinette kini berada di zon kuning di perairan antarabangsa, namun tiada aktivis Malaysia di atas kapal berkenaan.

Kapal itu dilaporkan berada kira-kira 80 batu nautika dari Gaza malam tadi dan hanya 10 batu nautika dari lokasi Israel mula memintas bot lain dalam flotila tersebut.

Pelayaran Marinette boleh dijejaki menerusi https://globalsumudflotilla.org/live/.

GSF mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai warganegara termasuk Malaysia, Sepanyol, Itali, Brazil, Turkiye, Greece, Amerika Syarikat, Jerman, Sweden, Britain dan Perancis.

Kementerian Luar Israel dalam kenyataan berkata aktivis yang ditahan sedang dibawa ke Pelabuhan Ashdod sebelum dideportasi ke Eropah.

Anadolu memetik penyiar awam Israel KAN sebelum ini melaporkan pasukan tentera laut telah merampas 41 kapal yang membawa kira-kira 400 peserta ketika mereka belayar menuju Gaza dalam operasi selama 12 jam.

Flotila itu membawa bantuan kemanusiaan termasuk bekalan perubatan dan berlayar pada akhir Ogos lepas. Ia merupakan kali pertama dalam beberapa tahun kira-kira 50 kapal belayar bersama menuju Gaza, dengan membawa ratusan orang awam yang menyokong misi berkenaan.

Israel mengekalkan sekatan ke atas Gaza, yang dihuni hampir 2.4 juta penduduk, sejak hampir 18 tahun lalu, dan memperketatkan lagi pada Mac lepas dengan menutup lintasan sempadan serta menghalang penghantaran makanan dan ubat-ubatan, sehingga menyebabkan wilayah itu terjerumus ke dalam kebuluran.

Sejak Oktober 2023, pengeboman Israel telah meragut nyawa lebih 66,200 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta kumpulan hak asasi manusia berulang kali memberi amaran bahawa wilayah itu semakin tidak dapat didiami, dengan kebuluran dan penyakit merebak pantas.

-- BERNAMA

#GSF #kapal Marinette #SNCC #bantuan kemanusiaan #Gaza