Hanya kerana pembesar suara, lelaki maut akibat dicekik

Amirrul Rabbani
November 25, 2021 10:18 MYT
Anggota dan pegawai polis mengusung mayat mangsa ke kenderaan polis untuk dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi bedah siasat.
IPOH: Berpunca daripada alat pembesar suara (speaker), seorang lelaki maut dicekik dalam pergaduhan membabitkan beberapa lelaki di hadapan sebuah warung di Flat Ashby Road di sini sekitar pukul 7 pagi tadi.
Tragedi itu menyebabkan mangsa Muhammad Noor Faqih Mohamed Ariffin, 29, maut di lokasi kejadian.
Muhammad Noor Faqih dikatakan telah mencuri pembesar suara milik seorang daripada suspek.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, ketika kejadian, mangsa yang berada dalam keadaan tertiarap telah dicekik daripada belakang oleh salah seorang suspek sebelum maut.
“Saya difahamkan suspek tidak berpuas hati sebab mangsa telah mencuri speaker kepunyaan salah seorang suspek. Berlaku sedikit pertengkaran dan menyebabkan mangsa terbunuh dalam kejadian.
“Kita percaya (suspek) ada masalah mental sedikit mangsa ini. Salah seorang itu (suspek) adalah tuan punya gerai. Jadi, dia datang untuk membantu salah seorang suspek. Semasa mereka bertanya (mangsa) berlaku pergelutan dan masa itu mangsa meninggal dunia,” kata Mior Faridalathrash.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Kempen Pencegahan Jenayah Komersial (jenayah dalam talian) tahun 2021 di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Mior faridalathrash memberitahu, susulan kejadian berkenaan, ketiga-tiga suspek berusia 60, 43 dan 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan selain sebilah pisau lipat yang ditemui di lokasi kejadian turut dirampas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
#pembesar suara #lelaki maut dicekik #Flat Ashby Road #Ipoh