MATANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan hasil ikan di kawasan perairan Sungai Geting, Tumpat, Kelantan masih selamat untuk dimakan.

Pengerusinya, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, hanya kerang-kerangan di kawasan berkenaan tercemar dengan toksin dan boleh memudaratkan kesihatan.

"Buangan daripada kilang-kilang yang di darat, menyebabkan berlaku keracunan... keracunan ini berlaku kepada kerang sahaja, ia tak berlaku pada ikan... ikan masih selamat lagi untuk dimakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyerahan Bantuan Kotak Ikan Berinsulasi di Jeti Kampung Tebuk di Matang, di sini, pada Rabu.


Keracunan Kerang | Larangan makan kerang perairan Sungai Geting

BACA: Jangan makan kerang-kerangan dari perairan Sungai Geting - Jabatan Perikanan

Pada Isnin, Jabatan Perikanan Kelantan menasihatkan orang ramai supaya tidak memakan kerang-kerangan yang diperoleh dari perairan Sungai Geting berikutan kawasan tersebut disyaki tercemar dengan serangan alga merah.

Pengarahnya, Nazri Ishak berkata, berkuat kuasa serta-merta, orang ramai juga dilarang melakukan aktiviti memungut dan menjual hasil kerang-kerangan seperti tiram, lokam, kepah, lala dan lain-lain yang diperoleh dari kawasan berkenaan.

Menurutnya, keputusan analisis daripada makmal biosekuriti perikanan mendapati, kerang-kerangan di kawasan tersebut telah tercemar dengan toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu alexandrium minutum.

Katanya, sekiranya dimakan ia boleh menyebabkan keracunan berbahaya serta memudaratkan kesihatan manusia.