MALAYSIA

Hanya Perlis, Wilayah Persekutuan terima pakai Akta Perhutanan Negara baharu

Asyraf Malik 29/06/2025 | 07:10 MYT
Biodiversiti dan ekosistem hutan penting untuk bekalan air, udara bersih dan keseimbangan alam. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Hanya Wilayah Persekutuan dan Perlis menerima pakai keseluruhan Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 yang bertujuan memperkemas perlindungan, pengurusan dan pemeliharaan hutan simpan kekal (HSK) di Malaysia.

Ringkasan AI
  • Hanya Wilayah Persekutuan dan Perlis telah menerima pakai sepenuhnya Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, manakala negeri-negeri lain masih dalam proses ke arah pelaksanaan yang sama.
  • Akta pindaan ini memperkukuh perlindungan Hutan Simpan Kekal (HSK) termasuk keperluan kelulusan Majlis Tanah Negara untuk pembatalan status HSK, syarat penggantian kawasan hutan, serta hukuman lebih berat terhadap pembalakan haram dan pencerobohan.
  • Kerajaan komited mengekalkan sekurang-kurangnya 50% keluasan tanah negara dilitupi hutan, dengan keluasan semasa mencecah 17.96 juta hektar atau 54.31% daripada keseluruhan tanah negara.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata negeri-negeri lain sedang berusaha ke arah yang sama.
"Komitmen setiap kerajaan negeri amat diperlukan dalam menyegerakan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri masing-masing.
"Kerajaan komited memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus keluasan tanah negara dilitupi pokok dan kawasan hutan.
"Setakat ini, keluasan kawasan berhutan negara adalah 17.96 juta hektar atau 54.31 peratus daripada keluasan tanah negara," kata Tiong Sii dalam ucapan perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, di sini pada Ahad.
Antara perkara penting pindaan akta tersebut adalah keperlun mendapat kelulusan Majlis Tanah Negara (MTN) jika sesuatu negeri ingin membatalkan status HSK.
Selain penetapan syarat penggantian kawasan hutan yang setara atau lebih baik jika berlaku pembatalan, serta hukuman lebih ketat terhadap kesalahan pembalakan haram dan pencerobohan hutan.
#Akta Perhutanan Negara Pindaan 2022 #keluasan kawasan berhutan #Hutan Simpan Kekal