Hanya satu perjalanan feri ulang alik ke Langkawi dalam sehari

Adie Sufian Zulkefli
Mac 22, 2020 10:26 MYT
Pengangkutan feri ke Langkawi juga menjalani proses pembersihan dan nyahkuman. - Bernama
Perkhidmatan feri ulang alik menghubungkan Langkawi-Kuala Kedah dan Langkawi-Kuala Perlis dihadkan kepada satu perjalanan sehari bermula 23 hingga 31 Mac.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi, Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata tindakan itu diambil berikutan masih ramai individu melakukan perjalanan keluar masuk ke pulau berkenaan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan sudah dikuatkuasakan.
Katanya bermula esok, waktu perjalanan feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis hanya pada jam 11 pagi, manakala untuk perjalanan dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi pada jam 4 petang.
Pihaknya juga menghadkan penjualan tiket di kaunter kepada hanya dua jam sebelum perjalanan feri, selain menggalakkan orang ramai membeli tiket secara dalam talian di www.langkawiferryline.com.
Sebelum ini, perjalanan feri dihadkan kepada dua perjalanan sahaja sehari berikutan penularan wabak COVID-19 berbanding biasa sehingga 10 perjalanan sehari.
Baharin berkata, pihaknya juga mempertimbangkan untuk menjual separuh sahaja tempat duduk feri bagi membolehkan setiap penumpang duduk pada jarak disarankan Kementerian Kesihatan.
Katanya, ia membuktikan pihaknya tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata, sebaliknya turut mengutamakan kepentingan negara.
#COVID-19 #feri langkawi #koronavirus #Kuala Kedah #Kuala Perlis #Langkawi #perintah kawalan pergerakan