KUALA LUMPUR:Terlampau banyak persoalan yang berbangkit daripada Belanjawan 2021, sedangkan ia sepatutnya memberi fokus kepada usaha menangani COVID-19, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, antara perkara yang menimbulkan kegusaran ialah, unjuran pendapatan yang mengelirukan, pemindahan wang untuk dijadikan pendapatan kerajaan, dan tumpuan yang tidak sepatutnya kepada perbelanjaan pembangunan (CapEx).

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, ia seakan-akan tersasar daripada apa yang sering diperkatakan Kerajaan sebelum ini, iaitu fokus Belanjawan adalah untuk mengawal pandemik itu.

“Pandangan saya, kita akan hanya sokong kalau ia benar-benar Belanjawan COVID-19. Dalam keadaan sekarang terlalu banyak persoalan, unjuran, peruntukan COVID-19, pemindahan wang dan peruntukan pembangunan yang bukan jadi keutamaan.

“Saya usulkan Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz) benar benar teliti, dengar hujah, supaya hal COVID-19 diberi keutamaan. Kita (pembangkang) diberitahu, digesa, dinasihat supaya sokong Belanjawan COVID-19, dan kita hanya akan sokong Belanjawan COVID-19…bukan yang lain,” katanya lagi.



SEGALANYA MENGENAI BELANJAWAN 2021, KLIK DI SINI


Antara perkara yang dibangkitkan Anwar ialah, mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi negara pada 2021, iaitu pada kadar antara 6.5% hingga 7.5%, yang beliau sifatkan tidak realistik, dan bercanggah dengan ramalan beberapa badan kewangan.

Beliau berkata, unjuran yang disebut Menteri Kewangan pada Jumaat lepas, seolah-olah cubaan untuk mengabui mata rakyat mengenai kedudukan sebenar ekonomi negara.

“Dari mana Menteri Kewangan dapat unjuran begitu hebat. Atau semata-mata untuk penuhi selera politik, untuk meyakinkan kita boleh capai pertumbuhan dengan begitu yakin?

“Unjuran saya faham tak semestinya tepat, banyak kali silap. Tapi ia haruslah bersifat realistik, ada kesungguhan untuk nyatakan yang benar. Bukan untuk mengelirukan semua pihak,” tegasnya lagi.

Dalam perbahasannya, Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, menyentuh anggaran kutipan cukai korporat untuk tahun 2021, iaitu sekitar RM64.6 bilion.

Beliau berkata, unjuran tersebut tidak munasabah, selepas mengambil kira kesan hebat COVID-19 ke atas ekonomi negara seperti penutupan syarikat-syarikat, pembuangan pekerja dengan jumlah yang banyak dan sebagainya.