GERIK: Enam pendaki yang ditemui selamat selepas dilaporkan hilang ketika Ekspedisi Trans Gerah di Gunung Gerah, Hutan Simpan Kekal Lojing, Kelantan hanya mengetahui adanya operasi mencari dan menyelamat (SAR) mereka apabila terdengar bunyi helikopter sewaktu berada di Kem Kulim.
Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, berkata isteri dan dua anaknya berada dalam keadaan baik sepanjang berada di dalam hutan, namun terdetik rasa bimbang sekiranya kelewatan mereka mendorong ahli keluarga membuat laporan polis.
“Telahan kami terbukti benar apabila mendengar bunyi helikopter sewaktu di Kem Kulim menuju ke pintu rimba, selain turut berselisih dengan malim dari Kelantan. Sepanjang perjalanan selepas itu, kami terus mencari isyarat telefon untuk menghubungi keluarga,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini, hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Aslam dan isteri, Siti Zulaiha Norizan, 39, serta anak Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef, 9, serta dua malim gunung Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, selamat keluar dari Pos Kemar melalui Jeti Trojan, Tasik Banding selepas ditemui pasukan penyelamat malam tadi.
Wan Ahmad Aslam berkata bentuk muka bumi yang mencabar serta semak samun tebal antara Gunung Beratoh hingga Gunung Sepat menyebabkan pergerakan kumpulan menjadi perlahan, sekali gus memaksa mereka menetapkan sebarang keputusan dengan berhati-hati.
“Kebiasaannya jika keadaan laluan baik, kami boleh menempuh jarak lapan hingga 10 kilometer sehari. Namun, apabila malim gunung terpaksa menebas semak untuk membuka denai, pergerakan kami terhad kepada dua hingga tiga kilometer sahaja sehari dan ini menyebabkan kita terlewat,” katanya.
Mengulas pembabitan anak-anaknya, beliau memberitahu aktiviti pendakian jarak jauh itu dijadikan platform bagi mendidik disiplin dan memupuk gaya hidup sihat sekeluarga, sekali gus mengurangkan ketagihan anak-anak terhadap penggunaan gajet.
“Niat saya adalah untuk mengurangkan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak, dan aktiviti mendaki seperti ini terbukti banyak membantu mencapai tujuan tersebut. Cuma kali ini sahaja yang di luar jangkaan kami,” katanya.
Sementara itu, Shafiee berkata keputusan untuk memotong laluan dari Gunung Sepat ke Kampung Orang Asli (KOA) Agek dibuat selepas mengambil kira faktor sumber air, berikutan perjalanan di laluan Gunung Bieh-Sepat yang mengambil masa lebih lama.
Beliau berkata kumpulan itu pada awalnya mempertimbangkan untuk berpatah balik, namun perjalanan ke Kem Perodua dianggarkan mengambil masa tiga hari dua malam dan berdepan masalah kekurangan air.
“Sebab itu saya pilih laluan tersebut. Walaupun saya sendiri belum pernah masuk kawasan itu, saya ada pengalaman buat kerja potong laluan,” katanya sambil menjelaskan laluan yang dipotong ke arah KOA Agek dianggarkan sekitar satu hingga dua kilometer berbanding perjalanan berpatah balik yang boleh mencecah lima hingga enam kilometer atau lebih.
Shafiee berkata bekalan makanan keenam-enam pendaki pula mencukupi sepanjang berada di dalam hutan selama 11 hari dan tiada catuan makanan dilakukan.
Pada 6 Sept lalu, enam individu termasuk seorang kanak-kanak dilaporkan hilang ketika merentasi laluan Gunung Trans Gerah, Lojing, Gua Musang pada 29 Ogos lalu selepas dilaporkan gagal keluar dari hutan mengikut tarikh dijadualkan, iaitu 3 Sept.
-- BERNAMA