IPOH: Kerajaan menyangkal dakwaan langkah mewujudkan pengambilan baharu penjawat awam secara tetap tetapi tidak berpencen akan menjejaskan nasib orang Melayu yang merupakan majoriti dalam penjawat awam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu sebaliknya telah dikaji sejak lama dulu di mana mesti ada rancangan baharu untuk mengganti skim itu bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

"... malah sudah puluhan tahun dikaji, kalau tak silap saya 90-an dulu sudah dikaji, tetapi tidak ada tekad politik untuk buat (laksanakan).

Pembangkang cakap hapuskan pencen akan seksa orang Melayu, (dakwa) ini semua cadangan DAP, dan ini yang terus dikemukakan dan tidak berbicara soal fakta kemudian guna agama, tunggang agama," katanya berucap ketika perasmian penutup pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga Pengerusi BN Perak, Pengerusi Pakatan Harapan Perak Datuk Seri Mujahid Yusof dan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata sistem pencen berkenaan juga tidak lagi diamalkan oleh sebahagian negara-negara maju.

Anwar turut berkata ahli-ahli politik perlu menerima kenyataan selepas ini mereka juga tidak mempunyai pencen.

Ia termasuk mereka yang bakal menjadi calon untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang.

"Jika selepas ini, mereka tidak mahu bertanding PRU (Pilihan Raya Umum) kerana tiada lagi pencen, itu terpulang kepada mereka,"katanya.

Terdahulu, kabinet bersetuju menetapkan syarat pengambilan bahawa penjawat awam baharu berstatus tetap tidak lagi menerima pencen.

Bagaimanapun, ia tidak akan menjejaskan status penjawat awam sedia ada namun bagi penjawat awam lantikan baharu perlu membuat caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam masa sama beliau sekali lagi mengulangi komitmen kerajaan akan menaikkan kadar gaji penjawat awam mengikut kemampuan kerajaan.

"Telah 12 tahun penjawat awam kerja tidak ada penilaian, tidak ada komitmen untuk perbaiki kadar upah dan gaji mereka.

Kita telah putuskan walaupun ada kekangan kewangan perkara ini (naikkan gaji penjawat awam) kita tidak boleh tunggu. Dengan kos sara hidup dan gaji yang tak naik kerajaan tetap ada komitmen tingkatkan kadar upah penjawat awam di negara kita," katanya.

-- BERNAMA