KUALA LUMPUR: Portal berita Harapan Daily hari ini menarik balik satu artikel berkaitan BestiNet serta memohon maaf susulan penerbitan kandungan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Portal itu dalam satu kenyataan memaklumkan artikel bertajuk “Isu BestiNet dah berlarutan sejak 2018 bukan ciptaan Kerajaan MADANI” yang ditulis oleh Syam Ghaz adalah sepenuhnya bersumberkan hantaran Facebook individu berkenaan bertarikh 1 Februari 2026.
Advertisement
"Harapan Daily, setelah mengetahui kewujudan tentang artikel tersebut telah menyelidik kandungan artikel tersebut berbanding dengan laporan-laporan yang diisu oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
"Harapan Daily mendapati bahawa BestiNet Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang credible dan yang telah melaksanakan sistem Foreign Workers Centralised Management System (FWCMS) serta modul-modulnya termasuk termasuk Bio-Medical dan eVisa with Reference berdasarkan perjanjian sah dan mengikat," katanya.
Sehubungan itu, portal berkenaan menjelaskan bahawa kenyataan dalam artikel tersebut yang mendakwa Kerajaan Perpaduan mewarisi isu berkenaan dan memuktamadkan kontrak pada September 2024 sebagai langkah ‘damage control’, adalah tidak benar.
Menurut kenyataan itu, Harapan Daily juga tidak bertanggungjawab terhadap kenyataan yang terkandung dalam artikel tersebut, dan ia tidak mewakili pendirian rasmi portal berkenaan.
"Lanjutan daripada itu, Harapan Daily telah menarik balik artikel tersebut dan memohon maaf atas penerbitannya yang tidak dapat dipastikan kesahihannya," tambah portal itu.