[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
NATIONAL

'Harga barang sama seperti di bandar, tapi gaji di kampung sangat rendah'

Astro Awani 04/05/2025 | 03:20 MYT
Rosnita melakukan pelbagai kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
KUANTAN: Pendapatan isi rumah mencecah RM2,000 sebulan masih belum mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian sekeluarga di kawasan luar bandar dalam keadaan kos sara hidup yang kian menghimpit ketika ini.


Ringkasan AI
  • Rosnita Yahaya, seorang pembantu kantin, terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan seperti penghantaran makanan dan tempahan masakan untuk menampung perbelanjaan harian keluarganya kerana pendapatan isi rumah sekitar RM2,000 sebulan masih belum mencukupi.
  • Kos barangan dapur dan keperluan sekolah anak-anak adalah perbelanjaan bulanan yang paling tinggi. Walaupun tinggal di luar bandar, harga barangan keperluan tidak jauh berbeza dengan bandar, menyebabkan mereka perlu berjimat sehabis mungkin.
  • Rosnita berpendapat bahawa pekerja luar bandar juga perlu menerima gaji setaraf dengan pekerja di bandar kerana harga barangan adalah sama, tetapi gaji berbeza, yang menyukarkan kehidupan mereka.


Pembantu kantin, Rosnita Yahaya, 39, berkata, situasi itu memaksa dirinya melakukan pelbagai kerja sampingan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

“Gaji kerja kantin memang tidak cukup, jadi bila habis waktu sekolah, saya ambil upah melakukan kerja penghantaran makanan.

“Dapatlah RM15 sehari untuk perkhidmatan penghantaran. Kalau hujung minggu, saya ambil tempahan sambal, masak patin tempoyak... boleh raih RM70 pun dah cukup untuk belanja anak sekolah,” katanya yang tinggal di Bukit Kuantan.

Ibu kepada dua anak itu memberitahu, suaminya Roslan Othman, 45, pula bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan.

Menurutnya, pendapatan itu bagaimanapun bergantung kepada jumlah trip yang diperoleh.

“Ada masa langsung tiada trip, jadi tiada gaji. Itu yang beri kesan besar kepada kami sekeluarga,” ujarnya.

Rosnita berkata, perbelanjaan bulanan tertinggi ialah bil air yang mencecah RM90 sebulan, manakala bil utiliti lain masih terkawal namun kos barangan dapur semakin meningkat berbanding sebelum ini.

“Dulu RM300 cukup untuk beli barang dapur sebulan, sekarang RM400 lebih pun belum tentu cukup. Kadang- kadang hujung bulan terpaksa cari duit lain untuk tampung.

“Itu belum masuk belanja sekolah anak-anak, minyak motosikal, kereta dan kos ulang alik hospital untuk rawatan anak di hospital setiap bulan," katanya.

Tambah Rosnita, dalam keadaan sekarang, mereka terpaksa berjimat sehabis mungkin termasuk mengurangkan keperluan diri sendiri demi anak-anak.

Katanya, walaupun tinggal di kawasan luar bandar, harga barangan keperluan tidak jauh berbeza dengan bandar.

“Sebab itu saya rasa pekerja luar bandar juga perlu terima gaji setaraf dengan pekerja di bandar.

“Harga barang sama, tapi gaji berbeza. Hidup makin susah sekarang,” ujarnya.

Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dilapor berkata Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.

Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.

Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.

Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.


*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.







#kos sara hidup #pendapatan rakyat #gaji rendah #luar bandar