MALAYSIA

Harga gula bertapis kekal, cukai jualan 5 peratus hanya libatkan gula mentah - MOF

Nabilah Khaleeda 20/06/2025 | 03:50 MYT
Penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohon pengecualian cukai melalui Jabatan Kastam Diraja Malaysia berdasarkan peruntukan khusus dalam Perintah Cukai Jualan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan, cukai jualan sebanyak lima peratus yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 hanya dikenakan ke atas gula mentah dan bukan ke atas gula bertapis yang digunakan oleh pengguna harian.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, MOF berkata, langkah ini selaras dengan pendekatan bersasar Kerajaan MADANI yang tidak mengenakan cukai ke atas barangan keperluan asas rakyat seperti gula putih, garam, ayam, telur, ikan, minyak masak dan beras.
“Gula bertapis (atau lazimnya dikenali sebagai gula putih) kekal tidak dikenakan cukai di bawah semakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025.
"Langkah itu bertujuan memastikan rakyat tidak terbeban dengan semakan semula sistem cukai sedia ada," jelasnya.
Tambah MOF, walaupun cukai lima peratus dikenakan terhadap gula mentah sebagai bahan input, pengilang seperti MSM Malaysia Holdings Berhad masih layak memohon pengecualian cukai ke atas bahan mentah tersebut.
“Tiada sebab untuk berlaku sebarang kenaikan harga gula bertapis,” tegasnya, sambil
"Lebih-lebih lagi kerana penapis gula seperti MSM terus menerima insentif bulanan daripada kerajaan bagi memastikan kestabilan bekalan dan harga," ujarnya lagi.
Penjelasan itu dibuat susulan kebimbangan awam terhadap kemungkinan kenaikan harga gula, selepas pengumuman berkenaan semakan semula SST diumumkan baru-baru ini.
"Penapis dan pengilang gula di Malaysia boleh memohonn pengecualian cukai kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
"Pengecualian ini diperuntukkan di bawah Butiran 1 Lajur (2), Jadual B dalam Perintah Cukai Jualan."
#SST #gula mentah #gula bertapis #gula putih