Harga kuih raya naik namun tetap dapat sambutan

Ifti Femida
April 7, 2022 23:20 MYT
Norain Md Zain (kiri) bersama dua rakan menunjukkan aneka jenis kuih raya termasuk Almond London, Almond Snow, Tart Nenas, Biskut Makmur, Biskut Mazola dan Cakar Ayam yang diedarkan sekitar Pahang dan Selangor. - Astro AWANI
JERANTUT: Meskipun terpaksa menaikkan harga kuih raya disebabkan kenaikan harga bahan mentah namun ia tetap mendapat sambutan daripada orang ramai.
Pemilik NMZ Enterprise, Norain Md Zain, 38, berkata, pelanggan tetapnya masih menerima harga baharu yang naik sekitar RM2 ke RM4 bagi aneka jenis kuih yang dijual.
"Sehingga kini saya menerima tempahan lebih 1,000 balang bagi 11 jenis kuih termasuk Almond London, Almond Snow, tat nanas, biskut makmur, biskut mazola dan cakar ayam yang akan diedarkan sekitar Pahang dan Selangor.
"Saya kira sambutan yang diberikan pelanggan cukup baik kerana mereka dijangka pulang ke kampung menyambut Aidilfitri selepas dua tahun beraya dalam suasana pandemik COVID-19," katanya kepada Astro AWANI, di sini, pada Khamis.
Bagi pengusaha kuih raya dari Felda Sungai Retang, Zaiton Mat, 62, berkata, kenaikan harga biskut raya tidak dapat dielakkan ekoran tidak dapat menampung kos kenaikan harga barang mentah terutama tepung gandum dan telur.
Jelasnya, kenaikan kos tersebut memberi beban kepada peniaga untuk memperoleh keuntungan, di samping perlu menawarkan harga yang berpatutan kepada pengguna.
"Rata-rata pelanggan saya memahami situasi kenaikan kos barang mentah di pasaran dan mereka juga sudah menjangka akan berlaku kenaikan harga kuih raya.
"Syukur juga apabila dimaklumkan harga sudah berubah mereka masih memberi sokongan de­ngan membeli produk saya,"katanya.
#kuih raya #NMZ Enterprise #Norain Md Zain #kenaikan harga bahan mentah