KOTA BHARU: Walaupun tarikh Hari Raya Aidiladha masih jauh, tempahan lembu korban sudah bermula selepas Hari Raya Aidilfitri lalu, dan kian rancak sehingga bekalan lembu dilapor berkurangan.

Ini diakui penternak dan juga pembekal lembu yang ditemui Astro AWANI.

Menurut penternak dan pembekal lembu Asran Alias, bekalan lembu semakin sukar diperoleh berbanding sebelum Aidilfitri.

"Untuk raya haji ni, ia meningkat sangat banyak berbanding sebelum raya. Stok semakin dekat raya, semakin payah dan lembu pun mahal.

"Beza harga lembu korban dengan lembu sembelihan biasa paling tak RM700 seekor hingga RM1,000 kalau lembu seberat 250 kilogram (kg)," kata Asran.

Bagi penternak lembu, Osman Omar, harga lembu boleh meningkat sehingga RM3,700 seekor mengikut gred.

"Memang tinggi, harga naik sampai RM3,000; kalau raya haji meningkat jadi RM3,700 seekor. Tengok gred lembu juga," kata Osman.

Seorang lagi penternak lembu, Mohd Azmi Yusuf berkata menerima tempahan daripada ramai pelanggannya yang rata-ratanya dari luar wilayah.

"Permintaan tinggi, insya-Allah. Orang mari dari Pasir Mas, Bachok, Pasir Puteh... datang cari di sini sebab murah sikit," kata Mohd Azmi.

Kebiasaannya, harga lembu adalah di antara RM3,000 hingga RM3,500 seekor bergantung kepada saiz.

Bagaimanapun, menjelang Aidiladha, harganya akan meningkat di antara RM4,000 hingga RM5,000 seekor.

Kebanyakan yang berkemampuan tidak melepaskan peluang melakukan ibadat korban walaupun harga bagi satu bahagian lembu mencecah RM1.000.