KUALA LUMPUR: Tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu menyaksikan peningkatan harga makanan yang membimbangkan pengguna.

Mana tidaknya, harga daging dan ayam mencatatkan inflasi tertinggi berbanding barangan lain dalam subkumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol).

Inflasi harga makanan dan minuman (bukan alkohol) mencatatkan nilai tertinggi pada 4.1 peratus berbanding tahun lepas (April 2021).

Ia peningkatan paling tinggi jika dibandingkan dengan inflasi bagi kumpulan-kumpulan lain seperti pengangkutan, restoran dan hotel, pendidikan serta pelbagai lagi.

Kenaikan harga bahan mentah ini sekali gus memberi impak kepada harga makanan siap masak, seperti di restoran mahupun kedai.

Masakan berasaskan sayur dan daging masing-masing meningkat 6.9 peratus (Mac 2022: 5.7 peratus) dan 5.7 peratus (Mac 2022: 5.2 peratus).

Sebagai contoh, sate dan nasi berlauk mencatatkan peningkatan yang lebih tinggi iaitu 7.1 peratus (Mac 2022: 6.6 peratus).

Kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi inflasi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

Peningkatan tertinggi dicatatkan di Selangor dan Putrajaya 5.7 peratus diikuti Pulau Pinang (4.4 peratus), Perak (4.2 peratus) dan Johor (4.2 peratus).

Menurut DOSM, peningkatan itu disebabkan kenaikan harga makanan di luar rumah pada April 2022 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Berikut antara jenis makanan yang menunjukkan kenaikan harga pada April jika dibandingkan Mac lalu.

• Harga daging naik kepada RM 36.26/kg dari RM 35.93/kg
• Harga terung naik kepada RM 8.92/kg dari RM 8.10/kg
• Harga tembikai naik kepada RM 3.43/kg dari RM 2.85/kg 

Tentunya, kenaikan harga makanan siap masak di kedai atau restoran akan dirasai oleh mereka yang menjadikannya sebagai pilihan utama setiap hari.

Jadi, apa pilihan anda ketika ini?