Harga minyak masak diturunkan secara berperingkat - Annuar

Umavathi Ramayah
Julai 14, 2022 05:35 MYT
Pihak industri secara prinsip bersetuju untuk menurunkan harga minyak masak secara berperingkat, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Pihak industri secara prinsip bersetuju untuk menurunkan harga minyak masak secara berperingkat, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.
Menurut beliau, itu merupakan langkah segera yang disaran oleh kerajaan untuk menangani masalah ketirisan dan harga minyak kelapa sawit, ketika ini.
Beliau berkata, selain Lembaga Kelapa Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Kelapa Sawit Malaysia (MPOC), pasukan khas itu turut mengadakan pertemuan dengan lebih 20 buah syarikat yang mewakili 21 syarikat pengilang dan pembekal serta 215 syarikat pembungkus minyak pada 11 Julai lalu.
"Dalam pertemuan itu, pihak industri bersetuju dengan syor kerajaan untuk menawarkan harga minyak sawit pada harga yang diturunkan secara berperingkat dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Secara prinsipnya, pemain industri bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk membuat adjustment (pelarasan) secara berperingkat berasaskan harga minyak sawit semasa," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, di sini, pada Khamis.
Justeru, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Mulitimedia berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan kenyataan terperinci berhubung perkara itu dalam masa terdekat.
Katanya, pasukan khas itu bersama KPDNHEP akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan ke atas barangan kawalan dan bukan kawalan di semua premis perniagaan.
Dalam masa sama, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya ada maklumat atau aktiviti yang mencurigai membabitkan bekalan barangan keperluan di negara ini.
#Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi #harga minyak masak #pemain industri #Annuar Musa