KUALA LUMPUR: Harga jauh lebih murah selain akses semakin mudah dan meluas antara faktor mendorong pengguna cenderung berbelanja di platform e-dagang seperti TikTok Shop berbanding berkunjung ke kedai fizikal.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah Dr Jain Yassin berkata platform e-dagang juga memudahkan pengguna untuk melakukan proses pemilihan dan pembelian barang.

"Dari sudut harga, sebagai orang yang ingin membeli akan cenderung kepada pembelian secara dalam talian (kerana lebih murah). Yang keduanya penggunaan e-dagang sekarang sudah meluas, secara logiknya ia menyenangkan proses pemilihan dan pembelian barang," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan khas Bernama semalam, berkenaan keluhan peniaga Bazar Aidilfitri di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) berikutan jualan kurang memberangsangkan berbanding sebelum ini antara lain disebabkan kemunculan platform e-dagang seperti TikTok Shop.

Selain itu beliau juga tidak menolak kuasa beli yang semakin berkurangan sebagai satu daripada faktor mendorong pengguna untuk lebih cenderung berbelanja di platform e-dagang.

Bagi melindungi peniaga kecil-kecilan yang terpaksa bersaing dengan peniaga dalam talian ini, Jain menyarankan kerajaan untuk menilai satu mekanisme keseimbangan harga.

"Mungkin kerajaan boleh melihat mekanisme keseimbangan harga yang sesuai. Ini kerana penjualan daripada TikTok dan sebagainya ini belum ada cukai spesifik, menyebabkan harga yang dijual di Tiktok lebih murah berbanding di pasaran," katanya.

Jain berkata sekiranya harga ditawarkan secara dalam talian terlalu rendah tanpa sebarang kawalan, ia boleh menyebabkan gangguan kepada harga pasaran sekali gus menjejaskan peniaga-peniaga yang memfokuskan kepada perniagaan secara fizikal.

Sementara itu Pensyarah Kanan Jabatan Kewangan di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Adilah Azhari berpandangan kerajaan boleh memperbanyakkan karnival untuk membantu peniaga kecil-kecilan menambah pendapatan mereka yang terjejas akibat persaingan ini.

"Kita faham bahawa kerajaan perlu buat sesuatu untuk menjana pendapatan negara dan juga dalam masa sama menstabilkan pasaran.

"Bila harga (dalam talian) terlalu rendah, jadi mengganggu kepada harga pasaran. Ini menyebabkan secara tidak langsung membelakangkan peniaga-peniaga sedia ada terutamanya peniaga yang fokus kepada fizikal," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman turut menyarankan kerajaan untuk mengenakan cukai kepada sebarang transaksi e-dagang di platform media sosial termasuk TikTok bagi melindungi penjaja kecil di negara ini.

Beliau berkata kewujudan peniaga di platform dalam talian boleh menggugat masyarakat penjaja kecil di negara ini memandangkan harga jualan yang ditawarkan jauh lebih murah.

"Saya ingin menyarankan supaya mana-mana pembeli yang mengguna sistem dalam talian ini dikenakan cukai kerana kita inginkan situasi menang-menang," katanya.

-- BERNAMA