KUALA LUMPUR: Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 15 sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober 2026, susulan tekanan bekalan produk petroleum bertapis di pasaran antarabangsa.
Kementerian Kewangan memaklumkan harga RON95 tanpa subsidi meningkat kepada RM4.67 seliter daripada RM4.52, manakala harga RON97 kini ditetapkan pada RM5.15 seliter, berbanding RM5.00 sebelum ini, manakala harga diesel tanpa subsidi kekal RM5.27 seliter.
"Kenaikan itu berlaku ketika harga minyak mentah dunia kekal tinggi, dengan harga minyak mentah Brent berlegar sekitar AS$100 setong sepanjang tempoh pengiraan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).
"Tekanan harga kini semakin tertumpu pada produk petroleum bertapis," ujar Kementerian Kewangan menerusi satu kenyataan, di sini, pada Rabu.
Tambah kenyataan berkenaan, situasi terbabit turut dipengaruhi keputusan China menggantung sebahagian besar eksport bahan api bagi Oktober, sekali gus mengehadkan bekalan di pasaran antarabangsa
"Pemulihan kapasiti penapisan dan bekalan produk petroleum bertapis global penting bagi mengurangkan tekanan harga dalam jangka sederhana.
"Bagaimanapun, perkembangan konflik di Asia Barat dan Rusia-Ukraine terus menimbulkan risiko terhadap kestabilan bekalan serta harga petroleum dunia," jelas Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, penerima BUDI95 terus membayar RM1.99 seliter berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.67 seliter, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.68 seliter, bersamaan 57 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Peneima BUDI Diesel pula terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga diesel tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan subsidi kerajaan sebanyak RM3.17 seliter, atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.