KUALA LUMPUR: Harga runcit petrol RON97 naik 2 sen seliter iaitu daripada RM4.31 kepada RM4.33 seliter, bagi tempoh bermula esok (Mei 19) sehingga 25 Mei ini. 

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini turut memaklumkan harga RON95 dan diesel kekal pada jarga RM2.05 dan RM2.15 seliter.

"Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua jenis minyak tersebut telah meningkat melebihi paras harga siling yang ditetapkan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan harga runcit petrol RON97 yang ditetapkan adalah mengikut harga pasaran sebenar.

"Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.