Harga simen berpatutan ditawar kepada pemaju rumah mampu milik - PM Anwar

Bernama
April 18, 2023 08:21 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika menyampaikan perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri 2023 di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Harga simen pada kadar berpatutan akan ditawarkan kepada pemaju rumah mampu milik yang membangunkan kategori rumah berharga RM300,000 ke bawah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini akan memanfaatkan golongan B40 dan M40 dengan pengurangan harga rumah maksimum sehingga RM5,000 mengikut jenis dan harga rumah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mengambil kira pengurangan harga simen itu berbanding harga pasaran, Anwar berkata ia melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM120 juta insentif swasta yang telah diberikan oleh pembekal simen kepada pembeli rumah melalui pemaju perumahan.
"Insentif swasta ini dijangka mencukupi untuk pembinaan rumah mampu milik sehingga 24,000 unit," katanya.
Beliau berkata langkah itu adalah bagi merealisasi hasrat Kerajaan Perpaduan untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat memandangkan kos bahan mentah yang semakin meningkat.
[TERKINI] Sidang Media Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri
-- BERNAMA
#harga simen #Anwar Ibrahim #rumah mampu milik #golongan B40