KUALA LUMPUR:Satu mekanisme bagi memperkasakan individu dan pihak berkaitan wajar dipertimbangkan dalam usaha memberi pilihan kepada masyarakat untuk menjalankan ujian saringan COVID-19.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berpandangan, ia boleh mengurangkan kebergantungan kepada fasiliti sedia ada di hospital kerajaan dan swasta untuk melakukan ujian tersebut.

Malah, harga yang ditawarkan oleh organisasi terpilih itu jauh lebih rendah berbanding caj ujian saringan COVID-19, ketika ini, tambahnya. 

"Satu mekanisme yang lebih baik yang mana bukan sahaja bergantung kepada fasiliti swasta atau sedia ada.

"Saya bagi contoh, ada beberapa organisasi yang melaksanakan ujian saringan di peringkat organisasi mereka sendiri, dan mereka membeli ujian saringan secara banyak. Mereka juga mempunyai kakitangan yang terlatih.

"Jadi, harga kos itu kalau tidak silap saya, bila beli secara pukal tidak begitu tinggi, iaitu kurang daripada RM40," katanya kepada Astro AWANI, di sini pada Sabtu.

BACA: KKM sedang kaji mekanisme kawalan harga ujian saringan RT-PCR, kata Dr Noor Hisham

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata jika harga ujian saringan berkurangan, ia boleh memudahkan golongan terdedah COVID-19 melakukan pemeriksaan tanpa melalui tempoh prosedur yang lama.

"Sebagai contoh, bila kes bertambah di pusat-pusat yang menjalankan ujian saringan terutamanya di pihak kerajaan, jumlah mereka yang hadir agak tinggi.

"Kadang-kadang prosedur itu terpaksa dilalui dalam tempoh antara lima hingga enam jam. Jadi, situasi itu sangat sulit.

"Kalau kita dapat memperbanyakkan lagi ujian saringan melalui kemudahan sedia ada dengan menurunkan harga, saya jangkakan kita dapat memberikan satu strategi yang lebih baik dalam konteks mengawal wabak," jelas beliau.

Berhubung air liur awal pagi dan kahak dalaman sebagai sampel alternatif untuk ujian calitan RTK Antigen (RTk-Ag) pula, Dr Malina berkata ia satu perkembangan positif dalam melaksanakan ujian saringan COVID-19.

Kaedah itu disifatkan lebih mudah kerana individu terbabit boleh memberikan spesimen tanpa bantuan kakitangan kesihatan.

"Sekiranya ia mempunyai korelasi dengan ujian-ujian sedia ada dan mempunyai sensitiviti yang baik, ia sepatutnya boleh dilaksanakan sebagai pilihan untuk kita melakukan ujian saringan dalam kita menghadapi wabak COVID-19," ujar beliau. 

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan (KKM) dalam peringkat kajian untuk mengawal harga ujian saringan RT-PCR di hospital awam dan swasta.