PUTRAJAYA: Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) yang berpotensi besar dan mampu memberi pulangan kepada ekonomi negara.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Zamri Ramli, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya 29 kawasan, dengan anggaran sumber NR-REE berjumlah 16.1 juta tan atau kira-kira RM809 bilion.

Jelas beliau, antara negeri yang dikategorikan sebagai 'money state' kerana taburan sumber NR-REE yang tinggi adalah seperti Terengganu, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Johor serta Kelantan.

"Itu hanya 20 peratus daripada keseluruhan rantaian. Itu pun kalau kita mengambil kira lima tan per ekar.

"Tetapi apa yang kita dapat daripada pilot projek kita, ia (NR-REE) mencapai sehingga 40 tan per ekar. Jadi itu menunjukkan bahawa ia sumber kekayaan baharu negara, yang patut kita teroka dan bangunkan secara mampan.

"Apabila kita nak melihat sumber tersebut, ia mesti lihat pada jaluran geologi itu sendiri. Kalau kita tengok sekarang ini, ia berkait rapat dengan taburan granit.

"Kalau kita nak pergi kepada bukan radioaktif, maknanya kebanyakan negeri ada. Tetapi sekarang ini yang paling banyak ialah negeri-negeri dikenal pasti mempunyai taburan granit yang tinggi," katanya kepada Astro AWANI, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sempena Hari Ahli Geologi Sedunia 2024 yang disambut pada 7 April, bertemakan 'Geologi: Menjana Ekonomi, Meraikan Warisan Demi Kesejahteraan Rakyat'.

Disambut pada Ahad pertama bulan April setiap tahun di seluruh dunia, ia dimulakan oleh sekumpulan ahli geologi Kesatuan Soviet pada 31 Mac 1966 untuk memperingati pencapaian ahli geologi Kesatuan Soviet selepas penemuan petroleum di Siberia Barat.

.

Mengulas lanjut, Zamri berkata kajian JMG ketika ini memberi penekanan kepada longgokan unsur nadir bumi (REE) jenis lempung jerapan ion, daripada sumber batuan granit terluluhawa.

Beliau menambah kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melancarkan standard perlombongan REE dan sedang meneliti modal perniagaan terbaik bagi membangunkan sumber berkenaan melibatkan sektor huluan, pertengahan dan hiliran.

"Modal perniagaan ini sedang dalam penelitian dan dibangunkan oleh ASM (Akademik Sains Malaysia) dan JMG serta agensi berkaitan.

"Selain itu, kita perlu ketengahkan bakat-bakat kita sebab tidak semua yang kita ada ini dieksport dan kita mahu membangunkan industri hiliran. Ini cuma 20 peratus (daripada hasil sumber). Kalau kita buat pertengahan, ia akan meningkat kepada 50 peratus pulangan dan (boleh) pertingkatkan lagi kepada 70 peratus sehingga 100 peratus (huluan)," ujarnya.

Zamri berkata Malaysia mempunyai sumber yang cukup untuk dibangunkan berteraskan prinsip mampan, bertanggungjawab dan cekap.

Bagaimanapun, katanya ia memerlukan kerangka perundangan dan dasar yang jelas, selain memperkasakan bakat-bakat tempatan sedia ada termasuk melalui kolaborasi dengan negara-negara yang mempunyai teknologi berkaitan.

REE terdiri daripada 15 unsur dalam kumpulan Lantanid, Skandium dan Ytrium.

Manakala NR-REE merujuk kepada Bahan Radioaktif Berlaku Secara Semulajadi (NORM) yang dikawal melalui Peraturan Perlesenan Tenaga Atom (Pengurusan Sisa Radioaktif) 2011, Akta Perlesenan Tenaga Atom [Akta 304].

Bahan yang mempunyai nilai radioaktif kurang daripada satu becquerel (Bq/g) dikelaskan sebagai NORM dan ia tidak dianggap beradioaktif.

Potensi Bidang Geologi

Menurut Zamri, ahli-ahli geologi ketika ini dalam fasa untuk memasyaratkan bidang geologi sebagai asas kepada pembangunan negara.

Katanya, ahli geologi yang bertugas 'di sebalik tabir' kurang diketahui umum walaupun negara memiliki bakat-bakat tempatan yang berkemahiran.

Mengambil contoh perlombongan emas dan timah, Zambri berkata kebanyakan bakat yang membangunkan sektor tersebut terdiri daripada rakyat tempatan.

"Contohnya di Tawau (Sabah), mereka yang pakar adalah rakyat Malaysia yang bekerja (dengan syarikat-syarikat dari) Uzbekistan dan Kazakhstan Kazastan dan sekarang ini bekerja di Malaysia.

"Begitu juga kalau kita tengok orang di Lynas (Lynas Malaysia Sdn Bhd), pakar-pakar yang terlibat dalam pemecahan ini  90 peratus adalah rakyat Malaysia.

"Begitu juga dengan universiti tempatan, kalau nak mula dari Universiti Malaya dulu sehingga Universiti Malaysia Kelantan (UMK), banyak juga mengkhususkan bidang geologi atau profesion yang menjadi asas kepada pembangunan negara," ujarnya lagi.

Di Malaysia, Zamri menambah geologi merupakan satu bidang yang penting kerana profesion tersebut merupakan asas kepada pembangunan negara.

Katanya, program promosi dan kesedaran mengenai bidang geologi perlu dipertingkatkan bagi memberikan lebih pendedahan kepada masyarakat.

"Dari segi aspek bencana, kita mengenal pasti kawasan-kawasan yang terdedah kepada bencana geologi yang kita dapat kurangkan kesan bencana itu pada kos yang paling optimum. Itu sebabnya penting kita meraikan pakar-pakar di sebalik tabir ini.

"Kalau kita melihat dari awal kita memang ada bakat yang cukup tetapi apa yang penting ialah pendedahan. Kalau kita tengok industri minyak dan gas, kebanyakan ahli geologi yang bertugas adalah tempatan," katanya lagi.

Sejarah bidang geologi di Malaysia bermula selepas aktiviti perlombongan bijih timah berkembang dengan pesat sejak awal tahun 1820-an di Perak dan Selangor, sekali gus menarik ramai pelombong dari China dan Eropah.