Hari akhir bahas Titah Diraja, suara Ku Li dijangka jadi tumpuan

Harits Asyraf Hasnan
September 20, 2021 14:33 MYT
Antara perbahasan yang dijangka akan mencuri tumpuan esok adalah pandangan serta persoalan yang akan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sesi perbahasan Titah Diraja akan diteruskan pada Selasa di Dewan Rakyat, yang merupakan hari terakhir perbahasan usul tersebut.
Antara perbahasan yang dijangka akan mencuri tumpuan esok adalah pandangan serta persoalan yang akan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.
Antara isu yang dijangka bakal diutarakan beliau yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO adalah berkenaan isu lompat parti, rasuah politik dan urus tadbir kerajaan di kala krisis kesihatan melanda negara.
Sebagai satu-satunya Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang duduk bersama blok pembangkang atau blok E dalam pelan kedudukan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, banyak perkara yang mungkin ‘menjentik’ kerajaan hari ini dijangka akan dikemukakan beliau.
Antara perkara lain yang pernah diutarakan beliau sebelum ini adalah berkenaan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Malah, Tengku Razaleigh yang mesra dipanggil Ku Li juga pernah berpandangan bahawa jemaah menteri yang dilantik Ismail Sabri wajar diberi separuh gaji.
Mengikut takwim Dewan Rakyat, nenteri atau timbalan menteri akan mula menjawab isu-isu yang dibangkitkan sepanjang empat hari perbahasan usul tersebut pada Rabu dan Khamis ini.
#Tengku Razaleigh Hamzah #titah diraja #Dewan Rakyat #UMNO #Ku Li #ismail sabri yaakob