BERDASARKAN deklarasi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 11 tahun yang lalu, hari ini, tanggal 15 September, diiktiraf untuk diraikan sebagai Hari Demokrasi Antarabangsa, yang antara lain diterima sebagai usaha mempromosi dan menegakkan prinsip-prinsip demokrasi, dan pada masa yang sama mengundang semua negara anggota dan organisasi memperingati hari yang penting ini dengan cara yang sesuai menyumbang ke arah peningkatan kesedaran rakyat mengenai amalan dan penyertaan dalam amalan demokrasi.

Hari Demokrasi Antarabangsa dibentuk melalui resolusi yang disahkan oleh Perhimpunan Agung pada 8 November 2007 untuk mendorong dan memperkukuh fenomena demokrasi.

PBB percaya bahawa hak asasi manusia dan peraturan undang-undang baharu selalu dilindungi dalam masyarakat.

Hari Demokrasi Antarabangsa seiring dengan Deklarasi Sejagat Mengenai Demokrasi, yang diterima pakai pada 15 September 1997 oleh Kesatuan Antara Parlimen (IPU).

Seiring dengan itu, Hari Demokrasi Antarabangsa dilihat akan menjadi penggerak untuk mendesak setiap anggota komuniti dunia dan kerajaan untuk sama-sama menghormati hak asasi manusia dan memberikan penyertaan yang bermakna dalam demokrasi.

Sebagai negara anggota PBB, Hari Demokrasi Antarabangsa juga sepatutnya diraikan dengan bermakna di Malaysia.

Bagaimanapun ia tidak mendapat sambutan yang menyeluruh untuk mencapai matlamat yang disasarkan oleh PBB berbanding hari-hari lain yang signifikan pada hari ini.

Maka, kini adalah masa yang sesuai untuk kita bergerak ke arah itu dengan aktif.

Pun begitu, kesedaran akan kepentingan amalan demokrasi sudah mula bertapak dengan kukuh dalam pelbagai cara dan persekitaran sejak dua dekad yang lalu.

Ini termasuklah kewujudan suara, desakan dan tuntutan yang lebih lantang, yang dikemukakan oleh pelbagai pertubuhan masyarakat madani dan parti-parti politik terutama pembangkang.

Di peringkat domestik, hari ini merupakan hari ketiga mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14, iaitu tahun keempat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pilihan raya umum tahun 2018 itu dilihat sebagai satu detik bersejarah pada ketika itu dan juga hari-hari yang menyusul selepas itu.

Secara langsung keputusan PRU14 telah mengubah landskap politik di peringkat nasional. Ia tidak terhenti di situ.

Kita turut menyaksikan perubahan kerajaan ekoran krisis politik nasional dan dalam sesetengah parti politik.

Dalam titah pada majlis perasmian sidang Parlimen pada Isnin lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya jangan sama sekali menggadai masa depan negara dan rakyat sebagai "taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu."

Negara telah mengadakan 14 pilihan raya umum dan banyak pilihan raya negeri secara serentak dan berasingan, dan lebih 100 pilihan raya kecil.

Demokrasi bukan hanya mengenai pilihan raya, tetapi sistem kerajaan dan pentadbiran yang bercirikan amalan demokrasi.

Sebab itu selalu diperkatakan mengenai kepentingan pilihan raya demokrasi dan juga kerajaan yang demokratik.

Prinsip amalan demokrasi yang akan membezakan sesebuah kerajaan, sama ada ia memenuhi ciri-ciri tertentu yang selari dengan kehendak rakyat dan para pengundi.

PRU14 turut membawa kepada perubahan-perubahan lain yang tidak dijangka dan diduga sama sekali, yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Pakatan Harapan (PH) yang mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Barisan Nasional (BN) digantikan pada penghujung Februari 2020, 22 bulan selepas menerajui kerajaan pusat.

Begitu juga empat kerajaan negeri beralih tangan kepada Perikatan Nasional (PN) apabila sejumlah wakil rakyat dipilih dalam PRU14 beralih parti dalam tempoh yang sama.

Malah, menariknya kepimpinan kerajaan negeri berubah tangan di antara parti yang menyokong kerajaan yang sama, iaitu PN, di Perak.

Perubahan susulan ekoran krisis politik yang tiada kesudahan membawa kepada perubahan di peringkat pusat.

Kerajaan PN, pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, berpindah tangan pertengahan bulan lalu.

Kali ini negara memperoleh perdana menteri yang baharu, iaitu yang kesembilan, dari barisan yang sama mengambil alih kerajaan pusat 17 bulan yang lalu.

Kabinet di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini dikenali sebagai "Keluarga Malaysia".

Di peringkat pusat kita telah menyaksikan kehadiran tiga orang perdana menteri; sebagaimana disaksikan di Johor yang turut menerima tiga menteri besar, dalam tiga tahun sejak Mei 2018.


Sentimen dan perubahan luar biasa

Kita pernah menyaksikan perubahan menteri besar, ketua menteri dan perdana menteri dalam penggal mandat yang sama banyak kali sebelum era PRU14, tetapi ia tidak melibatkan perubahan kerajaan dengan begitu ketara di kedua-dua peringkat pusat dan negeri.

Ini semua berlaku dan disaksikan buat pertama kali dalam tempoh tiga tahun lalu sejak PRU14.

Di sebalik siri perubahan timbul sentimen mengenai peranan dan kuasa pengundi dalam menentukan sesebuah kerajaan.

Ada yang menimbulkan pelbagai persoalan mengenai keberkesanan peranan pengundi dalam menentukan mandat parti yang perlu memerintah.

Malah, buat pertama kali dalam sejarah dua kerajaan negeri, iaitu Perak dan Johor memperluaskan "pintu demokrasi" dengan menghulurkan tangan kerjasama bersama barisan pembangkang.

Di Johor, buat julung kali Speaker Dewan Undangan Negeri dan Menteri Besar adalah dari parti yang berbeza.

Menariknya, perubahan dan pembaharuan tidak terhenti di situ!

Pada 10 September lalu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa Kabinet telah bersetuju untuk melaksanakan sejumlah pembaharuan parlimen dan pentadbiran.

Senarai itu terdiri daripada tujuh pembaharuan, iaitu pembentangan undang-undang yang berkaitan dengan antilompat parti, pelaksanaan penurunan had umur mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun dalam masa terdekat, pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun, keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, setiap rang undang-undang termasuk yang berkaitan dengan bajet akan dirunding dan dipersetujui secara bersama, ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan ketua pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Tujuh pembaharuan diumumkan Ismail Sabri itu, hampir sama dengan cadangan rangka persefahaman rentas parti diumumkan oleh Muhyiddin pada 13 Ogos lalu, beberapa hari sebelum beliau meletakkan jawatan.

Bagaimanapun ketika itu, tawaran Muhyiddin tersebut telah ditolak banyak pihak, terutama barisan pembangkang.

Ketika itu, pengkritik berpendapat bahawa janji-janji yang ditawarkan oleh Muhyiddin itu sebahagiannya berasal daripada tawaran dibuat PH sebelum PRU14.

Satu lagi perkara menarik, sejak sebulan lalu perbezaan pendapat dan ketegagan antara parti-parti politik yang mempunyai wakil di Parlimen nampak semakin kendur.

Kebanyakan parti mula mengetepikan perbezaan mereka untuk berganding bagi mewujudkan kestabilan politik.

Senario itu kelihatan jelas pada Isnin lalu dengan adanya pemeteraian memorandum persefahaman mengenai transformasi dan kestabilan politik antara kerajaan persekutuan dan PH, beberapa jam selepas titah perasmian Yang di-Pertuan Agong, di bangunan Parlimen.

Sejak PRU14 yang berlangsung tiga tahun lalu, banyak pihak bercakap mengenai keperluan reformasi sistem dan institusi, yang kesemuanya bertujuan memperkukuh sistem demokrasi yang diamalkan selama ini, sejak enam dekad yang lalu.

Kehendak dan keperluan ke arah itu ditekankan oleh pelbagai pihak, sama ada kerajaan ataupun pembangkang.

Ini bermakna wujud keperluan untuk mengadakan satu pembaharuan yang menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara dalam jangka panjang.

Pada penghujung Ogos 2020, Jawatankuasa Pembaikan Khas Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) telah menyerahkan laporan 46 syor yang berkaitan dengan keperluan penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya - yang menyediakan pelbagai saranan untuk memperbaiki pilihan raya demokrasi.

ERC dibentuk semasa kerajaan PH, yang ketika itu diterajui oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, dan diberikan tempoh selama dua tahun untuk menghasilkan laporan itu, yang kemudiannya diserahkan kepada Muhyiddin yang mengetuai kerajaan PN.

Kini, Ismail Sabri menerajui kerajaan yang dinamakan "Keluarga Malaysia" dan diharap ia akan menjadi kenyataan dari segi pelaksanaan untuk menyuburkan lagi amalan demokrasi.

Sementara kita berada di Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, diharap semangat dan amalam demokrasi akan terus disegarkan.

Diharap kesedaran dan kemahuan untuk terus menyertai dengan aktif dalam demokrasi akan kembali segar memandangkan wujud "sikap tawar hati" dalam kalangan ramai pengundi untuk kembali ke gelanggang pilihan raya akan datang, sama ada untuk bertanding mahupun untuk mengundi.

Keyakinan sesetengah rakyat ke atas sistem pentadbiran dan pemerintahan juga merosot.

Dalam erti kata lain sudah wujud satu defisit kepercayaan dan keyakinan, dalam skala yang besar, ke atas sistem demokrasi di negara.

Perkembangan-perkembangan ini, ada yang membina dan yang sebaliknya, sejak satu dua dekad lalu, terutama sepanjang era pasca-PRU14, telah mencetuskan banyak keperluan untuk melihat kembali fundamental untuk memperkukuh amalan demokrasi ke arah lebih lestari dan holisitik.

Salah satu perubahan positif adalah menurunkan kelayakan mengundi dan bertanding dalam pilihan raya, iaitu 18 tahun.

Bagaimanapun ia belum dilaksanakan sebagaimana diharapkan. Baru-baru ini mahkamah telah membuat satu keputusan penting.

Perdana menteri pula telah mezahirkan iltizam untuk merealisasikan pelaksanaan pindaan berkaitan.

Diharap segala perubahan dan pembaharuan yang telah berlaku dan diketengahkan oleh pelbagai pihak - kerajaan, parti politik, ahli-ahli politik individu dan pelbagai pertubuhan sejak kebelakangan ini, akan menyumbang ke arah peningkatan kesedaran rakyat mengenai amalan dan penyertaan dalam amalan demokrasi.

Kini adalah masa yang sesuai untuk meletakkan asas bagi satu pembaharuan yang konkrit, sekali gus merapatkan jurang dan segala kekurangan yang wujud dalam amalan demokrasi negara.

Kita perlu kembali kepada mandat yang diberikan oleh rakyat. Dan, mengimbangi antara kuasa rakyat dan kuasa wakil rakyat.

Selamat Hari Malaysia!!!


* Dr G Manimaran penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir; dan mantan ahli Jawatankuasa Pembaikan Khas Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC)

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.