PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat untuk mewujudkan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan, selain relevan dan fleksibel pada setiap masa dan tempat, kata perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 adalah sejajar dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025) dalam melaksanakan e-pembelajaran, iaitu pengajaran berteraskan ICT.

Bagi mencapai hasrat tersebut, perdana menteri berkata guru-guru berperanan penting dalam mengadaptasi kandungan pedagogi berteras teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

"Guru hendaklah menyediakan mindset bahawa alam sejagat ini merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita.

"Ini menuntut guru untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu.

"Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang berakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global,” katanya lagi.

Bagi mencapai hasrat tersebut, perdana menteri berkata kerajaan juga akan memastikan bahawa tiada murid yang dinafikan daripada mendapat pendidikan sewajarnya.

Tambah beliau, ia termasuk murid orang asli dan pribumi, murid berkeperluan khas (MBK), dan kanak-kanak tanpa dokumen.

“Dalam agenda pendidikan inklusif ini, kerajaan juga akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan ini turut menerima pendidikan seperti murid yang lain,” katanya lagi.

Sementara itu, dalam perutusan yang sama, perdana menteri turut mengumumkan bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Noorizan Mohamed sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2021.

Selain itu, dua bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia iaitu Datuk Dr Amin Senin, dan Datuk Dr Habibah Abdul Rahim, telah dinamakan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan bagi tahun 2021.