[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
MALAYSIA

Hari Hol: Pemangku Sultan Johor berangkat ke Makam Diraja

Bernama 31/07/2025 | 05:51 MYT
Istiadat Hari Hol adalah hari istimewa buat seluruh rakyat Johor bagi memperingati serta menzahirkan penghormatan kepada Almarhum Sultan-Sultan yang telah mangkat. - Foto FB HRH Crown Prince of Johor
JOHOR BAHRU: Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail hari ini berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Ziarah Makam Diraja Johor bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.


Ringkasan AI
  • Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail berangkat ke Majlis Ziarah Makam Diraja sempena Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar, bersama ahli kerabat diraja lain.
  • Hari Hol disambut setiap 6 Safar dalam kalendar Hijrah untuk memperingati sumbangan Sultan-Sultan Johor yang telah mangkat dan memohon keampunan untuk roh mereka.
  • Istiadat ini turut dikongsi secara rasmi di Facebook baginda, menandakan keharmonian tradisi diraja Johor dan penghormatan rakyat terhadap sejarah serta institusi kesultanan.


Berangkat sama ialah Raja Muda Johor Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail dan Tunku Abu Bakar Ibrahim Tunku Ismail, menurut satu hantaran berserta foto istiadat tersebut dalam Facebook rasmi baginda.

Turut berangkat Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim serta suami Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Istiadat Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar diadakan pada setiap tahun mengikut kalendar Hijrah, iaitu pada 6 Safar dan merupakan hari istimewa seluruh rakyat Johor bagi memperingati serta menzahirkan penghormatan kepada Almarhum Sultan-Sultan yang telah mangkat.

Selain itu, ia diadakan untuk berdoa ke hadrat Allah dan memohon limpah keampunan-Nya kepada roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah dan dihimpunkan mereka dalam kalangan orang-orang beriman.

-- BERNAMA





#Pemangku Sultan Johor #tunku mahkota ismail #Hari Hol #Majlis Istiadat Ziarah Makam Diraja Johor