Lebih 200 tahun lalu, profesion kejururawatan bermula di negara ini dengan perkhidmatan pertama bermula di Pulau Pinang dan Singapura oleh sukarelawan dari East India Co.

Pelbagai cabaran dan rintangan sejak dari era peperangan dunia kedua sehingga hari ini, namun tugas jururawat terus berkembang seiring dengan perubahan dunia perubatan dan teknologi.

Malah sambutan Hari Jururawat Sedunia tahun ini melakar sejarah baharu buat petugas barisan hadapan itu selepas terpaksa bertungkus-lumus menghapuskan pandemik COVID-19.

Wira tidak didendang ini bukan sahaja terpaksa mengorbankan masa dan nyawa, tetapi turut meninggalkan anak dan keluarga demi keselamatan negara.

“Di dalam senario biasa, tanggungjawab jururawat untuk merawat pesakit adalah sangat mencabar, terutamanya apabila menghadapi penyakit baru seperti sekarang pandamik COVID-19 ini.

“Jururawat perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan pengalaman tanpa tolak ansur,” demikian kata Ketua Jururawat Kumpulan KPJ Healthcare Bhd, Maygala Arumugam kepada Astro AWANI, hari ini.

Mengulas lanjut, Maygala yang mempunyai pengalaman luas dalam kerjaya tersebut berkata, tugas jururawat menuntut golongan itu untuk bekerja dengan penuh ikhlas dan integriti, selain bersikap profesional demi keperluan pesakit dan keluarga mereka.

“Di KPJ kami mengamalkan nilai-nilai teras termasuk berbudi bahasa, menjaga keselamatan pesakit, integriti, profesionalisme dan peningkatan berterusan,” tambah beliau.

Malah sambutan Hari Jururawat Dunia tahun ini melakar sejarah baharu buat petugas barisan hadapan itu selepas terpaksa bertungkus-lumus menghapuskan pandemik COVID-19.

Disambut pada 12 Mei setiap tahun, Hari Jururawat Sedunia pada tahun ini bertemakan "A Voice to Lead : Nursing The World To Health".

Jelas Maygala, tema tersebut memberi signifikan yang besar kepada jururawat untuk mendepani cabaran semasa, selain menekankan ilmu penjagaan kesihatan diri termasuk kepada keluarga.

Katanya, kerjaya jururawat di negara ini sudah melalui satu revolusi besar dari hanya bergelar kakitangan sokongan kepada petugas hadapan profesional.

Ia antaranya menjadi tulang belakang kepada pembangunan sesebuah institusi kesihatan termasuk sebagai pemimpin dan pakar strategi.

“Semoga jururawat KPJ akan terus berkhidmat dengan baik dan sentiasa mencapai kejayaan dan merealisasikan potensi sebagai pemimpin,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Maygala berkata, jururawat di Malaysia telah diberi peluang besar untuk mengembangkan kerjaya mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Justeru, besar harapan beliau agar lebih ramai jururawat akan tampil ke depan dan melibatkan diri dalam peranan yang lebih strategik ke arah mewujudkan pemimpin dalam kalangan jururawat muda.

Semoga sambutan Hari Jururawat Sedunia ini menjadi pemangkin semangat kepada jururawat untuk memberikan khidmat bakti yang terbaik buat rakyat Malaysia.

Terima kasih kepada 'jantung' kesihatan negara.