PUTRAJAYA: Tembak! Laungan itu jelas kedengaran di sebalik 14 das tembakan kehormatan artileri yang mengiringi alunan lagu Negaraku dan upacara menaikkan Jalur Gemilang pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini.
Setiap laungan arahan itu menuntut ketepatan masa dan disiplin anggota 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) daripada Kem Sungai Buloh, Selangor bagi memastikan setiap tembakan meriam M102 Howitzer dilepaskan mengikut susunan dan masa.
Kapten Muhammad Zameer Zolkaifli yang mengetuai pasukan itu berkata ketepatan dalam memberikan arahan dan koordinasi amat diperlukan bagi memastikan semua 14 das tembakan selesai dalam tempoh yang ditetapkan.
Beliau berkata cabaran utama ialah kedudukan enam meriam itu tidak berada berdekatan beliau, sebaliknya ditempatkan kira-kira 500 meter dari lokasi sambutan, iaitu di kawasan tempat letak kereta berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.
“Kami hanya berkomunikasi menggunakan walkie-talkie, cabarannya sudah tentu gangguan telekomunikasi, tetapi Alhamdulillah semuanya berjaya dilaksanakan dengan baik.
“Tempoh tembakan meriam untuk upacara menaikkan Jalur Gemilang dan lagu Negaraku adalah sekitar satu minit 16 saat dengan setiap das tembakan dilepaskan antara lima hingga enam saat,” katanya kepada Bernama.
Anak kelahiran Johor berusia 35 tahun itu berkata sambutan tahun ini menjadi kali kedua beliau dipertanggungjawabkan untuk mengetuai tembakan meriam itu selepas kali pertama pada tahun lepas.
“Kali pertama memang agak gugup, tetapi kali ini dengan bantuan rakan setugas, semuanya lancar dan cuaca juga amat baik. Situasi akan sukar jika hujan lebat.
“Kerjasama pasukan amat penting dan setiap anggota ada peranan sendiri dalam memastikan tembakan meriam berlangsung dengan sempurna,” katanya.
Muhammad Zameer berkata penugasan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat) bersifat berterusan kerana pasukan itu perlu memenuhi tugasan istiadat pada peringkat negeri dan kebangsaan.
Beliau berkata walaupun jadual penugasan padat, pasukannya tetap menjalani latihan serta raptai bagi memastikan setiap anggota benar-benar bersedia sebelum hari sebenar.
“Latihan juga dijalankan pada peringkat pasukan termasuk latihan menembak menggunakan peluru sebenar pada raptai penuh sebelum ini,” katanya.
Dentuman meriam pada sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun antara elemen tradisi ketenteraan yang sentiasa mencuri perhatian pengunjung selain perbarisan dan persembahan aset keselamatan negara.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini dihadiri lebih 80,000 pengunjung dengan penyertaan 10,819 peserta perbarisan melibatkan 76 kontinjen dan 22 pasukan pancaragam.
-- BERNAMA